Nelayan lemas dipercayai terjatuh dar bot

Nelayan lemas dipercayai terjatuh dar bot

bhnews@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menemui mayat seorang nelayan disyaki terjatuh dari bot, hari ini.

Mayat nelayan itu ditemui pada jarak 17 batu nautika dari Kuala Terengganu pada 1.25 tengah hari.

Pengarah APMM Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata dua bot dikerahkan untuk mencari dan menyelamat selepas menerima laporan kehilangan seorang nelayan, pada jam 8.30 pagi ini.

“Proses untuk membawa pulang mayat sedang giat dilakukan dan dijangka tiba di jeti APMM pada lewat petang ini.

“Setakat ini, identiti mayat ditemui belum dikenal pasti dan pengecaman akan dilakukan ahli keluarga mangsa sebaik mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Suffi berkata, dua bot APMM digerakkan untuk mencari dan menyelamat selepas menerima laporan mengenai kehilangan seorang nelayan ketika keluar menangkap ikan di perairan Pulau Kapas.

Sementara itu, abang ipar kepada mangsa yang dilaporkan hilang, Wan Roslizawati Mokhtar Abd Rashid, berkata adik iparnya, Wan Mohd Sofian Wan Abd Rahman, 34, keluar menangkap ikan seorang diri menaiki bot gentian kaca, pada 6.45 pagi ini.

Katanya, kehilangan mangsa disedari beberapa nelayan lain selepas ternampak bot milik Wan Mohd Sofian bergerak laju tanpa kelibat adik iparnya.

“Bot gentian kaca milik mangsa ditarik masuk ke jeti perikanan di Kampung Kuala Ibai oleh nelayan yang secara kebetulan berada di lokasi kejadian.

“Setakat ini, saya dimaklumkan APMM menemui mayat seorang nelayan di lokasi kejadian, tetapi belum menerima maklumat lanjut identiti mangsa dan belum membuat pengecaman,” katanya ketika ditemui di jeti itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top