am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Kumpulan muzik paling ikonik dan berjiwa ‘earthy’ dari Nepal, Nepathya, bakal membawa gabungan legenda melodi rakyat dan rock moden ke Malaysia sempena konsert ‘Live in Malaysia’ di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Jun ini.
Persembahan anjuran LFG Entertainment dengan Kerjasama DJ Reet Entertainment & Arbitrary Events itu menandakan satu pencapaian penting dalam jelajah global kumpulan terbabit bagi tahun ini.
Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1990 ini mengekalkan status sebagai antara kuasa konsisten dalam muzik Nepal selama lebih tiga dekad.
Di bawah kepimpinan penjaga dan vokalis utamanya, Amrit Gurung, kumpulan ini menjadi platform kepada bakat baharu, dengan 24 ahli pernah menyumbang kepada evolusi bunyi mereka sambil mengekalkan komitmen kukuh terhadap identiti budaya Nepal.
Nepathya bukan sekadar dikenali melalui 10 album hit, malah membawa kesedaran sosial yang mendalam.
Mereka mengukir sejarah sebagai band yang menjelajah seluruh negara hingga berjaya mengumpul jutaan wang NPR bagi memastikan sekolah bebas daripada politik dan keganasan.
Selain turut terbabit dalam bantuan kemanusiaan menerusi usaha mereka mengumpul lebih 4 juta NPR untuk mangsa gempa bumi Nepal dan 10 juta NPR untuk Manavsewa Ashram bagi membantu warga emas dan golongan memerlukan.
Uniknya kumpulan ini turut dikenali kerana kejayaan mendokumentasikan kajian muzik rakyat melalui filem pemenang anugerah seperti Bhedako Oon Jasto.
Malah Nepathya bukan nama asing di pentas antarabangsa dengan lebih 110 konsert di luar Nepal merentasi 19 negara ia termasuk persembahan bersejarah di Wembley Arena dan Manhattan Center.
Konsert di Kuala Lumpur ini adalah kesinambungan momentum antarabangsa mereka bagi 2025–2026, yang turut merangkumi jelajah di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun.
Peminat boleh menjangkakan perjalanan muzik penuh jiwa, daripada lagu popular awal 90-an seperti Chekyo Chekyo hingga ke anthem folk-rock seperti Resham dan Sa Karnali.
Tiket menyaksikan konsert boleh didapati di tiket2u.com atau ikuti perkembangan terkini dan pengumuman di saluran rasmi lfg.entertainment.
© New Straits Times Press (M) Bhd




