NAFAS perkukuh strategi pemasaran jenama ‘Peladang’

NAFAS perkukuh strategi pemasaran jenama ‘Peladang’

MUAR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) terus memperkukuh kedudukan jenama Peladang apabila menjalin kerjasama strategik dengan rangkaian pasar raya Megamart bagi memperluas pemasaran produk keluaran tempatan ke pasaran runcit moden.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, langkah itu merupakan satu inisiatif penting dalam meningkatkan akses pengguna terhadap produk berkualiti keluaran peladang tempatan, di samping memperkukuh rantaian pemasaran sektor agromakanan negara.

Beliau berkata, kerjasama tersebut membuktikan kemampuan NAFAS untuk membawa produk jenama Peladang ke platform pasaran yang lebih luas dan kompetitif.

“Usaha ini bukan sahaja membuka peluang pasaran baharu kepada produk tempatan, malah membantu meningkatkan daya saing usahawan peladang dalam industri peruncitan moden,” katanya selepas merasmikan Festival Agro MADANI Peladang@NAFAS Mall di Muar, Johor pada Sabtu.

Sementara itu, Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin berkata beberapa produk di bawah jenama Peladang seperti minuman 3 dalam 1 (kopi o, teh dan coklat), santan dan sardin telah mula dipasarkan di rangkaian Megamart cawangan NAFAS Mall menerusi kerjasama strategik tersebut.

Sebagai permulaan, NAFAS memasarkan di satu lokasi sahaja dan akan meluaskan ke rangkaian lain pada masa akan datang.

Menurut beliau, inisiatif itu selaras dengan usaha NAFAS untuk memperkukuh penjenamaan serta memperluas capaian produk keluaran peladang ke seluruh negara.

“NAFAS komited untuk memastikan jenama PELADANG terus berkembang sebagai produk pilihan pengguna dengan mengekalkan standard kualiti yang tinggi dan harga yang berpatutan,” katanya.

NAFAS Mall mula beroperasi pada April 2012 kini menjadi antara pusat aktiviti ekonomi komuniti Muar – Tangkak dengan menempatkan Pasaraya Megamart, Mr. D.I.Y, KFC, Guardian, Mixue, busana pakaian, kasut dan gerai jualan makanan.

Terletak di laluan utama Muar-Melaka, pusat komersial itu turut dirancang untuk diperluaskan dengan konsep dewan pelbagai guna dan aktiviti komuniti pada masa akan datang.

Festival Agro MADANI Peladang @ NAFAS Mall turut mendapat kerjasama pelbagai agensi dan organisasi termasuk Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah daerah Muar, Tangkak dan Segamat, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Persatuan Nelayan Kawasan Muar dan pasaraya Megamart serta penglibatan pihak swasta.

 

 

Scroll to Top