YGMB lancar Skim Perlindungan mampu milik buat guru

YGMB lancar Skim Perlindungan mampu milik buat guru

Ipoh : Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dengan kerjasama Great Eastern Takaful Berhad (GETB) melancarkan tiga skim perlindungan baharu yang mampu milik khusus buat warga pendidik di seluruh negara.

Tiga skim berkenaan iaitu Skim Pendidik Muda, Skim Pendidik Perdana dan Skim Pendidik Budiman menawarkan kadar caruman yang sangat rendah iaitu bermula serendah RM20 sebulan atau hanya 66 sen sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pengenalan skim ini sangat penting sebagai pilihan kepada guru serta kakitangan sokongan dalam mendepani cabaran kewangan semasa, termasuk isu inflasi perubatan dan kenaikan kos kesihatan.

“Ini adalah komitmen berterusan YGMB untuk memastikan kebajikan guru, kakitangan pendidikan serta pesara sentiasa terpelihara.

“Saya berpuas hati apabila YGMB dapat tampil dengan solusi mampu milik kerana ia tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan, tiada peningkatan caruman bulanan serta proses tuntutan manfaat yang mudah,” katanya sempena majlis pelancaran skim berkenaan.

Majlis pelancaran yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Guru itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas dan Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Muie Ngah.

Skim Pendidik Muda disasarkan kepada guru yang baharu memulakan kerjaya. Merangkumi perlindungan asas seperti kematian, hilang upaya kekal dan menyeluruh (TPD) serta 50 penyakit kritikal dengan bayaran serendah RM20 sebulan sehingga umur 60 tahun.

Skim Pendidik Perdana pula sesuai untuk guru yang sudah berkeluarga dengan perlindungan merangkumi ahli, pasangan dan anak-anak pada kadar RM49 sebulan sehingga umur 60 tahun.

Manakala Skim Pendidik Budiman menawarkan perlindungan serupa dengan Skim Pendidik Perdana namun tempoh perlindungan dilanjutkan sehingga ahli berusia 70 tahun dengan bayaran bulanan RM45 (RM33 untuk pasangan dan RM21 untuk anak).

Wan Munadi menyasarkan seramai 10,000 hingga 20,000 warga pendidik dan kakitangan sokongan akan menyertai skim perlindungan berkenaan pada tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pemasaran GETB, Rashida Mior Ahmad Darwish berkata, kerjasama strategik bersama YGMB ini membuktikan komitmen pihaknya dalam menyediakan pelan perlindungan takaful yang inklusif dan mampan.

“Kerjasama ini membolehkan kami menyediakan perlindungan berskala nasional yang menitikberatkan keperluan para guru dan kakitangan sokongan Kementerian Pendidikan, di samping membuka ruang kerjasama jangka panjang yang lebih berimpak tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top