DALAM usaha memperluas aspek halal dalam pendidikan STEM, Nestlé Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memeterai kerjasama strategik dengan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.
Ketua Hal Ehwal Halal Nestlé Malaysia, Nasrul Hadi Mohamed Nor berkata, kerjasama menerusi HalSTEM itu akan memberikan pendedahan praktikal terhadap sains, teknologi dan inovasi yang memacu industri halal kepada lebih ramai pelajar sekolah menengah Malaysia.
Ujarnya, dengan menggabungkan pengalaman industri Nestlé Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Halal bagi Nestlé di peringkat global dan kepakaran UPM dalam bidang sains dan penyelidikan halal, ia akan menambah baik pelaksanaan modul HalSTEM, latihan pendidik serta aktiviti santuni pelajar.
“Di Nestlé Malaysia, halal menjadi asas operasi kami dengan kepercayaan yang diletakkan oleh rakyat Malaysia terhadap kami.
“Sebagai Pusat Kecemerlangan Halal Global Nestlé, kami juga menyedari kepentingan untuk berkongsi pengalaman kami untuk mengukuhkan ekosistem halal dengan lebih luas.
“Menerusi HalSTEM, kami bertekad membantu anak-anak muda memahami bagaimana sains, teknologi dan inovasi menyokong jaminan serta kualiti halal,” ujar beliau.
Tambahnya, dengan menggabungkan pembelajaran bilik darjah dengan pendedahan industri, pihaknya berharap untuk meningkatkan minat terhadap STEM dan memberi inspirasi kepada bakat generasi akan datang dalam sektor halal.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Profesor Dr Shamsul Bahri Md Tamrin berkata, menerusi kerjasama tersebut, UPM menyumbangkan keunggulan akademik dan kepakaran penyelidikan kepada pembangunan HalSTEM manakala Nestlé Malaysia dalam ilmu praktikal industri.
“Dengan kerjasama ini, kami bersedia mencipta pengalaman pembelajaran yang berlandaskan sains yang relevan dengan realiti sektor halal.
“Kami juga melihat potensi besar bagi pertukaran ilmu dan kerjasama penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi halal,” katanya.
Kerjasama Nestlé Malaysia dan UPM merupakan lanjutan daripada program Halal@STEM yang dilaksanakan sebelum ini di Terengganu dan Melaka.
Ia dimeterai dalam usaha mengukuhkan hubungan antara dunia akademik dan industri, menyokong keutamaan negara untuk membina keupayaan STEM dan kesedaran Halal dalam kalangan anak muda, sambil membangunkan saluran bakat yang sedia untuk masa depan dan relevan dengan industri.



