Netizen Dakwa Sering Tunjuk Mewah… Intan Najuwa Hanya Kongsi Rutin Harian, Mahu Beri Inspirasi

Netizen Dakwa Sering Tunjuk Mewah… Intan Najuwa Hanya Kongsi Rutin Harian, Mahu Beri Inspirasi

Pelakon cantik Datin Intan Najuwa, 27, tampil menepis dakwaan segelintir netizen yang mengatakan dia secara sengaja sering menonjolkan kehidupan mewah di media sosial.

Menurut pemilik nama penuh Intan Najuwa Abdul Wahid ini, sejak bujang lagi, dia sudah biasa berkongsi rutin harian dan perjalanan hidupnya di media sosial, dengan niat untuk memberi inspirasi kepada orang ramai.

Sebelum ini, perkongsian Intan mengenai kehidupannya mewah di media sosial telah menarik perhatian ramai dan mengundang pelbagai pandangan netizen.

“Jika peminat yang mengikuti saya, pasti tahu saya memang sering berkongsi aktiviti harian di media sosial. Apa yang saya muat naik di akaun media sosial itu untuk menggembirakan diri sendiri dan cara untuk berinteraksi dengan pengikut.

“Saya memang kongsi perkembangan dan aktiviti kehidupan di media sosial dari sebelum kahwin supaya jadi inspirasi kepada orang luar dan mahu orang tengok semuanya dari sudut yang baik dan positif.

“Janganlah ambil perkara itu sebagai saya nak ‘show off’ kerana itu memang aktiviti sebenar saya sebagai isteri dan ibu di rumah. Ia bukan lakonan seperti buat-buat tolak ‘stroller’ dan sebagainya,” katanya kepada XTRA.

Pelakon drama rantaian Racun Rihanna ini ditemui pihak media di majlis penyerahan sumbangan anjuran Yayasan Nurjiwa dan Inayah Beauty yang berlangsung pada Jumaat.

Dalam pada itu, menyentuh soal penjagaan anak perempuannya, Imane Lunara yang kini berusia tujuh bulan, Intan memaklumkan bahawa jururawat peribadi yang membantu menjaga anak mereka adalah inisiatif suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman.

“Syukur Alhamdulillah, suami sediakan jururawat untuk anak. Mungkin suami hendak memudahkan urusan saya sebab saya paronoid dan mungkin suami berasa benda itu boleh tenangkan isterinya ini.

“Niat saya sama macam ibu-ibu di luar sana yang mahukan yang terbaik untuk anak dan saya akan bagi yang terbaik apa yang saya boleh.

“Tapi jangan rasa bila tiada pengasuh anda berasa diri kurang sebagai ibu kerana ia rezeki masing-masing. Pastinya setiap ibu nak yang terbaik untuk anak mereka,” ujarnya.

Mengulas mengenai pelbagai reaksi negatif yang diterimanya di media sosial, Intan memilih untuk hanya memberi perhatian kepada komen yang membina dan positif sahaja.

Untuk rekod, Intan berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Ahmad Azraf pada 18 Ogos 2023 dan pada 15 Disember tahun lalu, pasangan ini menyambut kelahiran anak sulung mereka, Imane Lunara.

Scroll to Top