Netizen kecam Ning Baizura tak tahu apa itu Rafah

Netizen kecam Ning Baizura tak tahu apa itu Rafah

KUALA LUMPUR – Penyanyi Ning Baizura menerima kecaman hebat daripada netizen gara-gara tidak mengetahui maksud Rafah.

Ia bermula  apabila Ning, 48, yang membuat siaran langsung Instagram membaca komen netizen yang menulis ‘All Eyes on Rafah’ (semua perhatian buat Rafah).

Namun, reaksi yang diberikan pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu ternyata mengejutkan kerana dia tidak memahami perkara tersebut sekali gus memberi bayangan dia tidak cakna dengan isu semasa khususnya peperangan di Palestin ketika ini.

“All Eyes on Rafah… who’s that? (Siapa itu),” katanya sambil ketawa.

Segelintir netizen berpendapat Ning mungkin kurang peka dengan isu semasa kerana kesibukan bekerja namun ada yang pelik kerana penyanyi lagu Awan Terpilu itu tidak mengetahui mengenai penindasan dan kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin.

Ini kerana ketika ini, seluruh dunia sedang memberi tumpuan kepada nasib rakyat Palestin yang diserang bertubi-tubi di lokasi terakhir mereka berlindung iaitu Rafah.

Malah poster ‘All Eyes on Rafah’ muncul setiap masa di semua media sosial.

Sementara itu, ramai juga mahu memboikot Ning dengan menyekat akaun media sosialnya sebagai pengajaran kepada penyanyi tersebut.

Apatah lagi ketika ini, gerakan Blockout2024 sedang hangat diperkatakan netizen dan mahu memasukkan nama Ning dalam senarai.

Sehingga kini, difahamkan lebih 30,000 penduduk Palestin telah dibunuh oleh Zionis sejak pertempuran yang berlaku pada 7 Oktober lalu. – MalaysiaGazette