Selepas beberapa jam peminat menanti dengan penuh sabar, usahawan kosmetik Datuk Seri Vida akhirnya melancarkan muzik video (MV) single baharu berjudul Ku Ikhlaskan di saluran YouTube miliknya awal pagi tadi.
MV lagu ciptaan Amy Ukays dan lirik dihasilkan sendiri oleh Vida itu menampilkan gaya dan personaliti dirinya yang berlainan, sesuai dengan konsep meruntun jiwa ingin disampaikan dalam karya tersebut.
“Ini bukan sekadar kisah peribadi, tapi sarat dengan emosi dukalara yang dialami oleh insan bernama DSV. keperitan, kehilangan, kecaman bertubi-tubi saya hadapi.
“Sekecil perkara diambil kira.. sebesar hama ditimbang tara,” tulis pemilik nama Hasmiza Othman itu.
Menerusi ruangan komen, MV berdurasi lima minit 22 saat itu dihujani pelbagai reaksi dimana rata-rata memuji kemerduan lirik dan penghayatan beliau yang penuh emosi sehingga menyentuh hati penonton.
Bukan itu sahaja, dari gaya fesyen, solekan unik sehingga penyuntingan video disifatkan ‘gempak’ selain mengagumi usaha keras semua pihak yang menjayakan MV berkenaan.




Bagaimanapun, meninjau reaksi warganet di laman Twitter pula, segelintir meluahkan pendapat bahawa lagu itu lebih sedap didengar tanpa menonton MV yang disifatkan agak sarat dengan elemen ‘menyeramkan’.


Sehingga kini, MV yang mencecah kos perbelanjaan sebanyak RM400,000 itu meraih 174,000 tontonan dan 14,000 komen dalam kalangan penonton.
Sumber: YouTube DSV Entertainment , Twitter




