Neuer kembali perkuat Jerman buru gelaran Piala Dunia 2026

Neuer kembali perkuat Jerman buru gelaran Piala Dunia 2026

PENJAGA gol veteran, Manuel Neuer, membuat kejutan apabila dipanggil semula menyertai skuad 26 pemain Jerman bagi menghadapi Piala Dunia 2026 sekali gus menamatkan persaraan antarabangsanya.

Pemain berusia 40 tahun itu sebelum ini mengumumkan persaraan daripada arena antarabangsa pada 2024.

Namun pengendali Julian Nagelsmann mengesahkan Neuer akan menjadi pilihan utama mengatasi Oliver Baumann dalam temasya di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico musim panas ini.

“Semua orang mengetahui aura dan kualiti dimiliki Manu serta apa yang dibawanya kepada pasukan.

“Kami merancang untuk menjadikannya penjaga gol nombor satu. Dia memberi impak kepada pasukan sendiri, lawan dan mampu mencipta detik istimewa,” kata Nagelsmann ketika pengumuman skuad di Frankfurt.

Joshua Kimmich kekal sebagai kapten meskipun Neuer kembali menyertai skuad kebangsaan.

Bekas pemain sayap Manchester City dan Bayern Munich, Leroy Sane, yang kini beraksi bersama Galatasaray turut mengekalkan tempat dalam skuad.

Nagelsmann mengakui statistik Sane peringkat kelab musim ini kurang memberangsangkan, namun yakin dengan prestasinya bersama skuad kebangsaan.

Neuer kini menjadi satu-satunya pemain yang masih kekal daripada skuad Jerman yang menjuarai Piala Dunia 2014.

Pemain pertahanan Freiburg, Matthias Ginter, gagal disenaraikan meskipun memainkan peranan penting membawa kelabnya ke final Liga Europa, dengan Malick Thiaw dari kelab Liga Perdana Inggeris, Newcastle United dipilih mengisi posisi pertahanan tengah.

Sementara itu, pemain muda Bayern Munich berusia 18 tahun, Lennart Karl, turut menerima panggilan pertama ke kejohanan utama antarabangsa.

Jamal Musiala kembali disenaraikan selepas pulih daripada kecederaan buku lali yang menyaksikannya terlepas aksi persahabatan Jerman pada Mac lalu.

Jerman yang diletakkan dalam Kumpulan C akan berdepan Curacao, Ivory Coast dan Ecuador.

SKUAD JERMAN

PENJAGA GOL: Oliver Baumann (Hoffenheim), Manuel Neuer (Bayern Munich), Alexander Nuebel (Stuttgart)

PERTAHANAN: Waldemar Anton (Borussia Dortmund), Nathaniel Brown (Eintracht Frankfurt), Joshua Kimmich (Bayern Munich), David Raum (RB Leipzig), Antonio Rudiger (Real Madrid), Nico Schlotterbeck (Borussia Dortmund), Jonathan Tah (Bayern Munich), Malick Thiaw (Newcastle)

TENGAH: Nadiem Amiri (Mainz), Leon Goretzka (Bayern Munich), Pascal Gross (Brighton and Hove Albion), Jamie Leweling (Stuttgart), Jamal Musiala (Bayern Munich), Felix Nmecha (Borussia Dortmund), Aleksandar Pavlovic (Bayern Munich), Angelo Stiller (Stuttgart), Florian Wirtz (Liverpool)

PENYERANG: Maximilian Beier (Borussia Dortmund), Kai Havertz (Arsenal), Lennart Karl (Bayern Munich), Leroy Sane (Galatasaray), Deniz Undav (Stuttgart), Nick Woltemade (Newcastle)

Scroll to Top