Neville bela Carrick, kecam pemain tak berdisiplin

Neville bela Carrick, kecam pemain tak berdisiplin

Manchester: Gary Neville melancarkan serangan pedas terhadap barisan pemain Manchester United dengan mendakwa mereka ‘memperdaya’ pengurus, Michael Carrick, selain menyifatkan sikap sesetengah pemain sebagai ‘tidak profesional’.

Kekalahan memalukan 0-3 di tangan Bournemouth di Old Trafford pada Ahad menyusuli episod duka tewas 1-4 di Como, sekali gus memberi bayangan penamat kepada era pengurusan Carrick di kelab itu.

Carrick, 45, tetap menerima sambutan hangat daripada penyokong di Stretford End meskipun pasukannya tewas sekali lagi, manakala penyokong di gelanggang sendiri bertindak melontarkan cemuhan ke atas skuad kendaliannya ketika mereka meninggalkan padang.

Neville sependapat dengan kemarahan penyokong dengan menegaskan bahawa beliau ‘tidak bersimpati langsung dengan pemain’ sambil mendakwa ada dalam kalangan mereka yang tidak menjaga pemakanan serta disiplin masa tidur.

“Mereka mempermainkannya, bukan? Mereka memperdaya Carrick selama beberapa bulan,” ujar Neville menerusi audio siar Sky Sports.

“Secara jujurnya, Carrick tidak akan berkata sedemikian secara terbuka kerana dia memiliki kelas tersendiri. Namun, saya boleh mewakilinya. Dia pasti merasa jijik melihat prestasi pemain-pemain itu. Sesetengah daripada mereka tidak profesional. Jadi, saya langsung tidak simpati.

“Ada antara mereka yang tidak tidur pada waktunya, tidak mengamalkan pemakanan yang betul, tidak memikirkan tentang Manchester United setiap saat dan gagal menghayati erti kelab bola sepak ini seperti sepatutnya – serta sebagai seorang pemain profesional.

“Mengapa? Kerana kejayaan sudah ‘naik ke kepala’ mereka. Sebahagian pemain itu sebenarnya bukan siapa-siapa.”

Pada aksi terbabit, Carrick mengejutkan ramai pihak apabila meletakkan Bruno Fernandes di bangku simpanan susulan kenyataan terbuka kapten kelab itu yang mengkritik taktik pasukan pada pertengahan minggu.

Malah, Fernandes langsung tidak dimasukkan ke padang walaupun pasukan sedang ketinggalan.

Keputusan itu menandakan kali pertama Fernandes digugurkan daripada kesebelasan utama atas sebab selain kecergasan sejak Carrick bertindak sebagai pengendali sementara menentang Villarreal pada November 2021.

Bagi Neville, tindakan berani Fernandes memecah tradisi pasukan dan mengkritik Carrick secara terbuka membuktikan bahawa pemain sudah berpaling tadah terhadap pengurus mereka.

“Carrick gagal mendapatkan rentak terbaik daripada mereka dan kini pemain menentangnya. Saya tahu mengenainya kerana jika Bruno sendiri sanggup bersuara secara terbuka dengan kenyataan sebegitu, bayangkan apa yang berlaku di sebalik tabir.

“Jika kapten pasukan sendiri berkata sedemikian, bayangkan apa yang dibualkan dalam bilik persalinan apabila tiada sesiapa yang mendengar. Situasi itu amat mengerikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top