am@hmetro.com.my
Seremban: Tidak hanya hidup sebatang kara, lebih menyedihkan apabila seorang lelaki tinggal sehelai sepinggang apabila rumah sewanya di Jalan Cempaka 1, Ampangan, di sini, hangus dijilat api malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Othman Ibrahim, 57, sempat keluar menyelamatkan diri tanpa membawa barangan berharga termasuk dompetnya.
Dia yang ditemui berkata, kebiasaannya dia akan memasak dan memberi makan kepada 10 kucing di bahagian dapur rumahnya selepas pulang kerja sekitar jam 7 malam.
“Bagaimanapun ketika memasak, saya terhidu bau hangit seperti orang bakar sampah. Saya jenguk keluar tetapi tidak melihat sesiapa bakar sampah sebelum masuk semula untuk memasak.
“Tidak lama kemudian bau makin kuat. Saya toleh ke belakang dan dapati api membakar ruang tamu rumah. Saya sempat cabut kepala pada tong gas sebelum keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Kejadian itu menyebabkan empat rumah di lokasi kejadian hangus, namun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan melaporkan tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu.
“Saya hanya sempat keluar dengan berseluar pendek dan berkaki ayam sahaja. Tak sempat untuk pakai atau selamatkan apa-apa pun termasuk pakaian untuk dipakai.
“Dompet juga hangus. Di dalamnya ada kad bank, kad pengenalan termasuk wang gaji saya. Barang rumah dan barang elektrik habis musnah,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini.
Seorang lagi mangsa, Mohd Hasrun Abdul Rahman, 46, berkata, api dipercayai bermula dari rumah jirannya namun penghuni rumah berkenaan baru sahaja keluar.
“Kami semua sempat keluar selamatkan diri, namun tidak dapat sempat menyelamatkan apa-apa.
“Saya tinggal di sini sejak tiga bulan lalu bersama isteri dan anak lelaki berusia 23 tahun,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seremban, Rapidah Peril berkata, seramai lapan mangsa daripada tiga keluarga kini ditempatkan di Balai Raya Gedung Lalang, Ampangan, di sini.
“Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ini dibuka sehingga semua mangsa dapat mencari rumah sewa lain. Terdapat dua mangsa kanak-kanak berusia tiga dan 10 tahun dari satu keluarga turut ditempatkan di sini.
“Selain bantuan keperluan seperti makanan, mangsa juga diberi sesi intervensi krisis sokongan psikologi oleh Unit Psikolgi dan Kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seremban.
“Ada mangsa yang menunjukkan tanda trauma serta kemurungan dan yang paling ketara adalah Othman yang banyak mendiamkan diri serta tidak berselera untuk makan.
“Pihak kami difahamkan, dia hanya tinggal bersendirian dan tanpa ahli keluarga,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




