New York haramkan operasi kereta kuda mulai Jun 2028

New York haramkan operasi kereta kuda mulai Jun 2028

New York: Majlis Bandar Raya New York pada Khamis mengundi untuk mengharamkan operasi kereta kuda di jalan raya bandar itu dan Central Park bermula Jun 2028, sekali gus menamatkan industri yang sudah lama bertapak serta tarikan pelancongan bersejarah.

Daripada 51 anggota majlis berkenaan, seramai 40 menyokong rang undang-undang itu yang turut mendapat sokongan Datuk Bandar Zohran Mamdani selepas beliau menyatakan pada awal bulan ini bahawa industri kereta kuda itu akan berakhir.

Tujuh ahli majlis mengundi menentang usul berkenaan manakala dua lagi berkecuali.

Sokongan terhadap larangan itu meningkat susulan kematian seorang pelancong berusia 18 tahun dari India, Romanch Mahajan, pada musim panas tahun ini.

Mahajan tercampak dari kereta kuda sebelum maut pada 17 Jun apabila kuda berkenaan tiba-tiba meluru ketika pemandunya beredar untuk mengambil gambar keluarga mangsa.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, yang sebelum ini pernah menyerang Mamdani sebelum mengadakan pertemuan mesra dengannya menyuarakan keraguan terhadap larangan berkenaan.

“Apabila berlaku kemalangan kereta di kawasan itu yang jumlahnya amat banyak, mereka tidak menghalang kereta daripada memasuki taman berkenaan.

“Jadi mengapa mereka mahu menghalang kereta kuda? Ia satu tradisi yang hebat. Satu lagi cebisan sejarah yang hilang. Ia pasti dirindui!” tulis Trump menerusi platform Truth Social.

Empayar perniagaan Trump beribu pejabat di Trump Tower yang terletak hanya beberapa minit perjalanan dari Central Park.

Rang undang-undang itu mewajibkan pentadbiran bandar raya menyediakan pelan peralihan bagi tenaga kerja terbabit menjelang April serta mempertimbangkan program pampasan kepada pengusaha atas kehilangan perniagaan mereka serta membantu menempatkan semula kuda-kuda berkenaan. Di bawah cadangan itu, kuda-kuda terbabit tidak dibenarkan disembelih.

Sehari sebelum pengundian, Kesatuan Pekerja Pengangkutan yang mewakili pemilik perniagaan kereta kuda dan pemandu memaklumkan bahawa mereka akan memohon perintah sekatan sementara daripada mahkamah sebaik sahaja rang undang-undang itu berkuat kuasa sekiranya ia diluluskan.

Perkara itu dinyatakan dalam surat yang dihantar kepada Kaunsel Perbadanan Bandar Raya New York Steve Banks.

“Ini mungkin kali pertama dalam sejarah bandar raya profesion yang sebelum ini dilesenkan diharamkan,” menurut surat yang ditandatangani peguam utama kesatuan itu, Arthur Schwartz.

“Rang undang-undang yang dicadangkan ini menafikan hak pemilik untuk menggunakan harta benda mereka bagi tujuan ekonomi atau produktif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top