Sao Paulo: Neymar kembali menyarung jersi Santos hari ini dengan masa depannya terus menjadi tanda tanya apabila kontraknya hanya berbaki beberapa bulan, selain bayangan pengunduran daripada skuad kebangsaan Brazil semakin kuat selepas kegagalan Selecao di Piala Dunia 2026.
Bintang berusia 34 tahun itu dipanggil semula menyertai Brazil hampir tiga tahun selepas kali terakhir mewakili negaranya, namun peranannya di pentas Piala Dunia amat terhad apabila hanya beraksi selama 37 minit dalam dua perlawanan.
Malah, satu-satunya gol yang dijaringkannya menerusi sepakan penalti gagal menyelamatkan Brazil daripada tersingkir seawal pusingan 16 terbaik selepas tewas 1-2 kepada Norway.
Sejurus tamat perlawanan itu, Neymar rebah di tengah padang sambil menitiskan air mata sebelum mengeluarkan kenyataan ringkas yang mencetuskan pelbagai spekulasi.
“Ia berakhir di sini.”
Kenyataan itu pantas ditafsirkan ramai sebagai petanda dia sudah bersedia menutup tirai karier bersama skuad Samba, sekali gus mengakhiri perjalanan yang menyaksikannya muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil.
Dalam perkembangan sama, satu video yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) tular di media sosial apabila memaparkan ‘Neymar muda’ merayu kepada Neymar hari ini supaya terus mengejar impian menghadiahkan Brazil kejuaraan Piala Dunia keenam pada edisi 2030.
Namun, bekas penyerang Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu hanya membalas dengan tiga emoji ketawa sambil menangis, seolah-olah memberi bayangan impian itu sukar direalisasikan.
Neymar kembali ke Santos pada Januari tahun lalu selepas meninggalkan kelab Arab Saudi, Al-Hilal, namun tempoh keduanya bersama kelab yang melahirkan namanya itu tidak berjalan lancar.
Kecederaan lutut kiri yang memaksanya menjalani pembedahan hujung tahun lalu menyaksikan dia hanya sempat beraksi dalam lapan daripada 19 perlawanan Santos dalam saingan Serie A Brazil musim ini.
Walaupun kerap bergelut dengan kecederaan, Neymar masih mempamerkan sentuhan berbisa apabila meledak empat gol selain mencipta dua bantuan jaringan.
Sumber dalaman kelab memberitahu AFP bahawa sebarang keputusan mengenai lanjutan kontrak Neymar bergantung kepada keputusan pemilihan presiden Santos yang dijadual berlangsung Disember ini.
Presiden kelab, Marcelo Teixeira, individu yang bertanggungjawab membawa pulang Neymar ke Santos, juga masih belum mengesahkan sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya.
“Persoalan pertama ialah sama ada Neymar mahu terus bermain bola sepak,” kata seorang pegawai kelab yang enggan dikenali.
Dalam pada itu, bapa yang juga ejen Neymar, Neymar Santos Sr, tampil memberi kata-kata semangat kepada anaknya agar tidak terburu-buru membuat keputusan meninggalkan bola sepak.
“Anakku, teruskan bermain bola sepak. Nikmatilah semula kegembiraan apabila bola berada di kakimu dan kembali tersenyum di atas padang.
“Jangan takut menghadapi hari esok,” katanya menerusi sepucuk surat yang dikongsi dalam video di Instagram.
Media Brazil pula melaporkan Neymar sedang mempertimbangkan untuk meneruskan kariernya di Liga Bolasepak Amerika Syarikat (MLS).
Malah, rundingan dengan FC Cincinnati dilaporkan pernah berlangsung tetapi gagal mencapai persetujuan.
Sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan, Neymar bakal menyertai senarai bintang dunia yang kini beraksi di MLS termasuk Lionel Messi (Inter Miami), Antoine Griezmann (Orlando City) dan Thomas Mueller (Vancouver Whitecaps).
© New Straits Times Press (M) Bhd




