NGO bergabung tubuh sekretariat isu Rohingya, PATI

NGO bergabung tubuh sekretariat isu Rohingya, PATI

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kira-kira 50 badan bukan kerajaan (NGO) bergabung menubuhkan Sekretariat JEJAK sebagai platform menyelaras cadangan menangani isu berkaitan pelarian Rohingya dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Pengerusi sekretariat, Yahya Long Ali berkata, ia diwujudkan susulan isu pelarian terutama Rohingya dan kemasukan warga asing ke negara ini yang menjadi kebimbangan ramai.

Menurutnya, pihak NGO menghadiri mesyuarat pembentukan jawatankuasa sekretariat itu bagi membincangkan pendekatan lebih menyeluruh dan berkesan demi kepentingan semua pihak.

“Kita tidak menentang apa disuarakan oleh pihak yang menyokong untuk kita sama-sama membantu pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan.

“Bagaimanapun kita (mahu) mencari satu kaedah, satu pendekatan untuk kita menangani isu ini dengan lebih baik dan lebih berkesan untuk kebaikan semua pihak,” katanya pada mesyuarat pembentukan jawatankuasa sekretariat berkenaan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Misi Keamanan dan Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia berkata, perkara berkenaan juga perlu diberi perhatian serius untuk diselesaikan secara tuntas.

Katanya, ia terutama apabila isu pelarian berkenaan ketika ini menjadi masalah utama di negara ini termasuk salah laku warga asing yang tular seperti dikongsikan di media sosial.

Sekretariat itu memfokuskan penguatkuasaan, kawalan dan penyelesaian isu pelarian dan PATI di Malaysia yang membincangkan beberapa perkara antaranya perundangan atau hak asasi pelarian dan pengurusan pelarian secara komprehensif termasuk cadangan penempatan di kem statik.

Selain itu, kesan terhadap sosio ekonomi negara susulan kemasukan warga asing tanpa kawalan serta risiko terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat, kebergantungan beberapa sektor kepada pekerja asing dan membendung kemasukan PATI, pelarian dan jenayah rentas sempadan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi sekretariat, Kelana Putra Mohamad berkata, pihak sekretariat sedang merangka memorandum yang menyenaraikan garis panduan, cadangan penyelesaian dan cadangan berhubung isu berkenaan.

“Kita akan hantar memorandum berkenaan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Keselamatan Negara dan kita akan hantar juga kepada pihak kedutaan dan pihak lain yang berkaitan,” katanya.

Katanya, sekretariat berkenaan akan mengadakan mesyuarat bulanan bagi menyelaraskan tindakan susulan dan post-mortem ke atas setiap memorandum yang dihantar kepada pihak berkaitan bagi memastikan keberkesanan usul diketengahkan itu.

Terdahulu, isu berkaitan pelarian Rohingya di negara ini menjadi hangat susulan pendedahan media mengenai penempatan etnik itu di Sungai Tekali, Hulu Langat menjadi tumpuan selepas didakwa dihuni ramai warga asing dan dibina tanpa kelulusan sekali gus mencetuskan perhatian pelbagai pihak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top