Niat nak bantu jiran, akhirnya sama-sama terperangkap

am@hmetro.com.my

Georgetown: Hasrat murni lelaki membantu jiran warga emas yang terperangkap di bukaan tingkap (beam) tingkat 14 sebuah pangsapuri di Jelutong di sini, hari ini, akhirnya menyebabkan dia turut sama terperangkap.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dipanggil bagi melakukan khidmat khas penyelamatan kedua-dua mangsa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Negeri John Sagun Francis berkata, panggilan diterima pihaknya daripada orang awam pada jam 1.28 tengah hari.

Operasi berkenaan membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dengan kekuatan seramai lapan anggota.

“Sebaik tiba di lokasi didapati dua lelaki yang berusia 78 dan 50 tahun itu duduk di atas bukaan tingkap tingkat 14 pangsapuri berkenaan.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) berpakaian pelingdung diri (PPE) lengkap membuat ‘size up’.

“Penyelamatan kedua-dua mangsa dilakukan dengan mengakses masuk daripada pintu rumah warga emas itu pada bahagian hadapan,” katanya dlam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut John berkata, kedua-dua lelaki itu berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Kes diserah kepada pihak polis tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 1.52 tengah hari.

“Insiden dikatakan bermula ketika lelaki warga emas berusia 78 tahun mahu keluar daripada biliknya namun menyangka pintu bilik berkenaan terkunci.

“Warga emas itu kemudian bertindak keluar menerusi tingkap belakang bagi membuka pintu rumah daripada hadapan.

“Bagaimanapun, tindakan warga emas itu tidak berjaya dan dikesan oleh jirannya berusia 50 tahun dan cuba membantu sehingga kedua-duanya kepenatan sebelum duduk di bukaan tingkap berkenaan,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top