Kematian pelajar: Polis sudah rakam 92 keterangan saksi

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis merakam 92 keterangan saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar berusia 14 tahun di kediamannya di Setapak, baru-baru ini.

Tindakan itu diambil Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju susulan laporan polis terbaharu yang dibuat oleh ibu mangsa pada 19 Ogos lalu, kira-kira jam 7.49 petang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

“Hasil maklumat awal, pihak Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Wangsa Maju telah menjalankan siasatan kes atas laporan tersebut.

“Sebanyak 92 keterangan saksi telah dirakam bagi membantu siasatan dan kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas berhubung kejadian berkenaan, Fadil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada ibu mangsa pada 18 Ogos lalu kira-kira jam 1.59 pagi selepas menemui anaknya di dalam bilik.

“Mangsa dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan ambulans sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas pada jam 2.25 pagi.

“Bedah siasat sudah dijalankan dan Pegawai Perubatan Forensik HKL memaklumkan punca kematian.

Pada peringkat awal, satu Laporan Mati Mengejut (SDR) dibuka oleh Ketua Polis Balai Setapak,” katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini dan tampil membantu siasatan sekiranya mempunyai maklumat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP Baldev Singh Gurdial Singh di talian 03-92899222 / 012-4806062, Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-21159999, atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top