Niat tangkap ketam nipah berakhir tragedi, Mohd Afiq ditemukan meninggal dunia

Niat tangkap ketam nipah berakhir tragedi, Mohd Afiq ditemukan meninggal dunia

am@hmetro.com.my

Dungun: “Saya bersama beberapa rakan berusaha mencarinya tapi gagal. Pagi ini saya sangat sedih selepas dia ditemui meninggal dunia oleh pasukan penyelamat,” kata Mohd Hafis A Talib.

Mohd Hafis ialah abang ipar kepada Mohd Afiq Ahmad, 36, yang ditemukan lemas jam 7.21 pagi tadi, selepas hilang ketika keluar menangkap ketam nipah di kawasan paya di Kampung Tebing Tembah, Paka, dekat sini.

Mohd Hafis, 47, berkata, Allahyarham Mohd Afiq yang tinggal di Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit bersama ibunya datang ke rumah di Kampung Tebing Tembah sejak tiga minggu lalu.

“Dia ada cakap nak keluar menangkap ketam kira-kira jam 10 pagi semalam dan selepas jam 5 petang, dia tak pulang, jadi saya bersama beberapa rakan pergi mencari.

“Saya bimbang kerana arwah ada penyakit sawan. Saya dah cari di sekitar kawasan paya namun tidak jumpa,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun, hari ini.

Menurutnya, selepas puas mencari adik iparnya itu, dia mengambil keputusan membuat laporan polis kira-kira jam 11 malam tadi.

“Pagi ini saya menerima berita sedih selepas pasukan menyelamat menemuinya,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Paka, Irwan Rashid berkata, seramai tujuh anggota ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pencarian di sekitar kawasan paya berdasarkan maklumat diberikan oleh keluarga mangsa.

“Operasi pencarian dilakukan di kawasan mangsa dipercayai hilang sebelum dia ditemukan sudah meninggal dunia.

“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Dungun bagi proses bedah siasat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top