Misteri status Hassan hilang dalam rekod FIFA

Misteri status Hassan hilang dalam rekod FIFA

Dallas: Status pemain sayap Mesir, Haissem Hassan, menjadi tanda tanya selepas aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 menentang Australia semalam.

Pemain berusia 24 tahun itu masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan berkenaan, namun kehadirannya terus mencetuskan persoalan mengenai status kelayakan antarabangsanya.

Kekeliruan itu timbul susulan ketiadaan nama Hassan dalam portal rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang sebelum ini menjadi rujukan utama bagi pengesahan pertukaran kelayakan antarabangsa pemain.

Menurut laporan Football360, proses pertukaran negaranya dipercayai sudah diluluskan tepat pada masanya untuk membolehkan dia dimasukkan dalam skuad Piala Dunia.

Bagaimanapun, ketiadaannya dalam sistem rasmi FIFA masih belum dijelaskan secara terbuka oleh badan induk itu, sekali gus menambah tanda tanya mengenai status sebenar pemain berkenaan.

Portal berkenaan sebelum ini menjadi rujukan rasmi bagi beberapa pertukaran pemain lain termasuk Cristian Volpato dari Itali ke Australia.

Ia turut merekodkan perpindahan Adrian Segecic dari Australia ke Croatia yang diluluskan pada 13 Mac 2026.

Situasi berkenaan menimbulkan tanda tanya sama ada proses dokumentasi perpindahan kelayakan daripada Perancis kepada Mesir telah disahkan sepenuhnya.

Bagaimanapun, dia tetap disenaraikan dalam skuad Mesir dan digunakan dalam aksi penting berdepan Australia.

Hassan sebelum ini memilih untuk mewakili Mesir pada Mac selepas pernah beraksi di peringkat remaja bersama Perancis.

Dia juga pernah mewakili Perancis di peringkat bawah 17 dan bawah 18 tahun, selain menyertai skuad remaja yang beraksi dalam kejohanan antarabangsa.

Pemain Real Oviedo itu dilahirkan di Perancis dan dibesarkan dalam sistem bola sepak negara berkenaan sebelum berhijrah ke Sepanyol bersama Villarreal dan Sporting Gijon.

Dia turut memiliki pertalian keluarga yang membolehkannya mewakili Tunisia, sekali gus menjadikan dirinya pernah menjadi rebutan tiga negara.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan proses pertukarannya telah diluluskan lebih awal, namun ketiadaan namanya dalam rekod rasmi FIFA terus mencetuskan persoalan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top