Niat untung kripto, perunding IT lesap RM1.5 juta

Niat untung kripto, perunding IT lesap RM1.5 juta

am@hmetro.com.my

Balik Pulau: Seorang perunding teknologi maklumat (IT) kerugian hampir RM1.5 juta selepas terpedaya dalam kes penipuan pelaburan mata wang kripto dalam talian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa lelaki warga emas berusia 63 tahun tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini, kelmarin.

Menurutnya, berdasarkan laporan mangsa, dia melihat iklan pelaburan kripto di Facebook (FB) pada Disember 2023 sebelum berminat melabur kerana menawarkan keuntungan lumayan.

“Kerana berminat, mangsa menekan pautan pada iklan pelaburan itu sebelum dia berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.

“Suspek menawarkan satu pelaburan jual beli mata wang kripto Dolar Amerika Syarikat sehingga dia menyertai sebuah kumpulan WhatsApp yang memberikan penerangan berkaitan pelaburan itu.

“Mangsa seterusnya diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan itu. Antara Mac 2024 hingga September 2024, dia melakukan sembilan transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank milik syarikat yang diberikan suspek, berjumlah lebih RM1.49 juta,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.

Azizee berkata, mangsa akhirnya sedar dirinya diperdaya apabila gagal mengeluarkan atau memindahkan keuntungan serta modal yang dipaparkan dalam aplikasi ke dalam akaun peribadinya.

“Orang ramai diingatkan bahawa penyertaan dalam mana-mana skim pelaburan, khususnya yang ditawarkan secara dalam talian adalah sangat berisiko.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top