Sime Darby Property dijangka capai sasaran jualan RM4b

Sime Darby Property dijangka capai sasaran jualan RM4b

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad dijangka mencapai sasaran jualan RM4 bilion bagi tahun kewangan 2026, disokong momentum kukuh segmen hartanah industri serta sumbangan baharu daripada projek pusat data (DC) bina untuk pajakan.

Public Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad masing-masing mengekalkan pandangan positif terhadap prospek kumpulan hartanah itu walaupun pasaran hartanah semasa masih mencabar.

PublicInvest mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM1.55, manakala RHB Research mengekalkan syor ‘beli’ dengan TP RM2.15 yang mencerminkan potensi kenaikan hampir 50 peratus.

Menurut PublicInvest, Sime Darby Property merekodkan prajualan RM918.9 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun kewangan 2026, bersamaan kira-kira 25 peratus daripada sasaran jualan tahunan RM4 bilion.

Bank pelaburan berkata, kumpulan berkenaan turut mempunyai tempahan belum direkodkan bernilai RM1.1 bilion setakat 17 Mei 2026 selain jualan belum dibilkan meningkat kepada RM4.1 bilion berbanding RM3.9 bilion pada suku sebelumnya.

“Perkembangan ini memberi kadar keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh bagi tempoh tiga hingga empat tahun akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, RHB Research menjangkakan prestasi jualan Sime Darby Property akan terus berkembang dalam suku-suku berikutnya memandangkan sebahagian besar pelancaran projek baharu hanya dibuat pada akhir Mac lalu.

Katanya, kumpulan itu masih mengekalkan pelan pelancaran projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.7 bilion bagi tahun kewangan 2026 termasuk projek sulung di Melbourne, Australia bernilai RM900 juta.

“Prestasi jualan suku pertama tahun kewangan 2026 sangat memberangsangkan dengan segmen industri menyumbang kira-kira 53 peratus daripada keseluruhan jualan,” katanya.

Bagi suku pertama, Sime Darby Property mencatat keuntungan bersih RM158.8 juta, meningkat 34.1 peratus tahun ke tahun dan 81.3 peratus suku ke suku. 

“Prestasi itu didorong keuntungan nilai saksama RM65.1 juta hasil penyiapan projek DC bina-untuk-pajakan selain sumbangan lebih tinggi daripada segmen pelaburan dan pengurusan aset,” katanya.

Bagaimanapun, keuntungan bersih teras kumpulan dianggarkan RM93.7 juta selepas mengecualikan keuntungan luar biasa itu dan masih dianggap sejajar dengan jangkaan pasaran memandangkan suku pertama lazimnya lebih perlahan.

Dari sudut operasi, hasil Sime Darby Property susut 8.3 peratus tahun ke tahun kepada RM799.2 juta berikutan sumbangan lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah dan riadah.

Namun, segmen pelaburan dan pengurusan aset terus mencatat pertumbuhan positif apabila hasil meningkat 39.2 peratus susulan pengembangan portfolio aset kumpulan.

Dalam pada itu, kelemahan segmen riadah dipengaruhi penutupan sementara KLGCC Convention Centre bagi kerja naik taraf sehingga awal 2026 yang menjejaskan pendapatan makanan, minuman dan acara.

Kedua-dua firma penyelidikan itu turut berpandangan positif terhadap pelaksanaan Pelan Insentif Jangka Panjang (LTIP) yang dilihat mampu menyokong pertumbuhan mampan kumpulan dalam jangka panjang. – UTUSAN

Scroll to Top