norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan popular Indonesia, Nidji tidak mengambil masa lama bersetuju menyanyikan lagu Teman Sejati untuk OST filem animasi, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2).
Vokalisnya, Yusuf Ubay berkata Nidji sangat berbesar hati dan menganggap ia sebagai penghargaan buat mereka apabila dipilih oleh pasukan penerbitan EATM2 untuk kerjasama itu.
“Saya sendiri memang ada menonton siri Ejen Ali sebelum ini. Jadi, apabila lagu Teman Sejati Nidji ‘dipinang’ untuk OST EATM2, kami fikir ia sebagai jodoh dan rezeki.
“Ditambah, kami semua anggota Nidji memang sudah tahu bagaimana animasi Ejen Ali itu yang jalan ceritanya sangat menarik dan harus ditonton oleh semua tidak kira lapisan usia,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Nidji hadir pada sesi temubual eksklusif bersama mereka sempena promosi filem EATM2 di Balai Berita Bangsar, di sini, hari ini.
Berbicara lanjut, Ubay memaklumkan lagu Teman Sejati itu sudah dimuatkan dalam album terbaharu Nidji berjudul Manifestasi Hati yang dihasilkan pada 2019 iaitu kira-kira enam tahun lalu.
“Terima kasih kepada pasukan penerbitan filem EATM2 kerana mempercayai Nidji dan memberi peluang kepada lagu Teman Sejati sebagai salah satu lagu OST.
“Bagi Nidji, filem ini (EATM2) sangat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada penonton. Malah, lagu Teman Sejati ini juga dilihat sesuai dengan penceritaan filem Ejen Ali yang mengisahkan persahabatan.
“Apapun, inilah rezeki daripada Tuhan yang mempertemukan Nidji dengan EATM2 secara kebetulan dan kita (Nidji) akhirnya berjodoh juga,” ujarnya
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation merangkap Pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin dan Komposer EATM2 dari Wau Animation, Azri Yunus.
Pada masa sama, Ubay mengaku yang lagu Teman Sejati kedengaran lebih indah sebaik digunakan sebagai muzik latar untuk babak tertentu dalam filem EATM2 berkenaan.
Gitaris Nidji iaitu Andi Ariel Harsya yang bertindak sebagai komposer dan penulis lirik lagu Teman Sejati berkata, dia tidak menyangka dengan impak positif diterima terhadap lagu itu.
“Tidak sangka apabila lagu Teman Sejati ini sangat sesuai untuk EATM2. Jadi, penghargaan buat kru produksi dan penata suara yang menempatkan lagu ini pada babak tepat.
“Jadi, sebaik menonton filem ini semalam, kami juga ikut sekali hanyut terutama ketika menyaksikan babak yang menggunakan lagu Teman Sejati,” katanya.
Selain Ubay dan Ariel, Nidji turut dianggotai Ramadhista Akbar sebagai pemain gitar, Randy Danistha (keyboard), Andro Regantoro (bass) dan Adriana Prakarsa (dram).
© New Straits Times Press (M) Bhd
