Nik Safuan optimis pasukan negara mampu kekal kejuaraan

Nik Safuan optimis pasukan negara mampu kekal kejuaraan

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad ragbi tujuh sebelah (s) negara optimis mampu mengekalkan kejuaraan pada Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara yang akan berlangsung pada 4 hingga 5 April depan di Singapura.

Ketua jurulatih ragbi 7s Malaysia, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, beliau mengakui terdapat pelbagai cabaran yang perlu barisan anak buahnya memandangkan mereka akan berlatih pada bulan Ramadan.

Jelasnya, disebabkan tidak boleh melakukan sesi latihan seperti hari biasa, maka Nik Safuan akan memberi fokus beberapa perkara bagi memastikan setiap pemain dan pasukan berada di tahap terbaik.

“Kita baru mula fasa latihan minggu ini dan kalau nak kira hari kejohanan dan hari berlatih, memang tak berapa cukup tapi saya tetap optimis walaupun tanggungjawab ini berat untuk kita mempertahankan kejuaraan tahun lepas.

“Apa yang boleh saya buat, berdasarkan pengalaman pemain yang ada serta campuran pemain lama dan baru, saya berharap kita boleh kekalkan kejuaraan tahun ini.

“Ini juga cabaran buat saya dan apa yang boleh dilakukan adalah saya akan cuba terapkan beberapa elemen yang mana kita akan melakukan kecergasan kepada pemain dan memberi tekanan kepada situasi perlawanan serta apa yang saya perlukan adalah kecergasan perlawanan,”katanya.

Selain itu, memandangkan tempoh masa lebih kurang sebulan sahaja lagi akan bermula kejohanan itu, beliau yakin dengan pemain yang ada dalam skuad kendaliannya bagi menjelmakan sesuatu pada pertandingan itu nanti.

Ujarnya, untuk menyediakan sesebuah pasukan yang kuat, mereka memerlukan masa sekurang-kurangya tiga bulan dan tiga hingga empat perlawanan persahabatan yang intensiti tinggi.

“Dari saya, kita boleh harapkan pengalaman dan juga lebih kepada taktikal yang kita ada sebelum ini. Jadi, bagi saya pasukan yang perlu kita waspada adalah Filipina dan Thailand. Selebihnya rasanya tiada masalah untuk pasukan kita tahun ini,”katanya.

Untuk rekod, Malaysia berjaya muncul juara selepas menewaskan Singapura A 14-10 pada final di Stadium Nasional Singapura.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top