Nilai Yamal melepasi setengah bilion ringgit

Nilai Yamal melepasi setengah bilion ringgit

London: Nilai pasaran Lamine Yamal melonjak dengan ketara selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama Sepanyol di Euro 2024.

Pemain muda Barcelona itu menyertai kejohanan pada usia 16 tahun dan menikmati musim mengagumkan yang berakhir dengan La Roja menewaskan England di final untuk menjuarai Euro buat kali keempat.

Yamal yang genap 17 tahun sebelum final mencipta bantuan jaringan keempat di kejohanan itu apabila menghantar bola kepada Nico Williams untuk gol pembukaan di Berlin.

Pemain muda sensasi itu meledak jaringan terbaik kejohanan ketika berdepan Perancis sekali gus terpilih Pemain Muda Terbaik Euro 2024.

Yamal dijangka terus menjadi tumpuan dalam dunia bola sepak dan Barcelona sudah pun memberikannya nombor jersi lama milik Lionel Messi.

Malah peningkatan mendadak Yamal turut menyaksikan dia memecahkan rekod dalam nilai pasaran pemain.

Dalam kemas kini terbaru, laman web popular Transfer Markt menyenaraikan 35 pemain di Euro 2024 yang nilai pasaran mereka meningkat.

Namun sekali lagi Yamal menjadi tumpuan. Selepas meledak tujuh gol dengan Barca, dia hadir ke Euro 2024 dengan tanda harga €90 juta (RM459 juta).

Tetapi nilainya sekarang melonjak kepada €120 juta (RM612 juta) sekali gus yang paling banyak mengalami peningkatan dan muncul pemain pertama bawah 19 tahun melepasi €100 juta (RM510 juta) di Transfer Markt.

“Yamal kini dikenali di seluruh dunia,” kata Tobias Blaseio, pakar penilai Transfer Markt untuk Sepanyol. “Pemain muda terbai kejohanan dan pencipta bantuan jaringan terbanyak.

“Pada usia 17 tahun, dia memecahkan beberapa rekod dan memberikan sumbangan penting untuk meraih gelaran Eropah terutamanya di separuh akhir dan final.” “

Pada Oktober, Barcelona bersetuju dengan kontrak baharu dengan Yamal yang mengikatnya sehingga 2026 termasuk klausa pembebasan €1 bilion (RM5 bilion).

Namun perkembangan terkini daripada Sport mendakwa ejen Yamal, Jorge Mendes melobi untuk mendapatkan peningkatan gaji dengan lebih lumayan dalam kontrak baharunya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top