NIOSH-Medivest cipta sejarah, pasport keselamatan fasiliti pertama diiktiraf MBOR

NIOSH-Medivest cipta sejarah, pasport keselamatan fasiliti pertama diiktiraf MBOR

INSTITUT Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersama Medivest Sdn Bhd melakar sejarah tersendiri apabila program pasport keselamatan pengurusan fasiliti yang dibangunkan secara bersama diiktiraf sebagai yang pertama seumpamanya di negara ini.

Program dikenali sebagai NIOSH–Medivest Safety Passport (NMvSP) itu menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘First Safety Passport for Facility Management’ dalam satu majlis yang berlangsung di ibu pejabat NIOSH, di sini pada Selasa.

Pengerusi NIOSH, Chong Chieng Jen berkata, pengiktirafan itu menjadi penanda aras penting khususnya kepada pemain industri pengurusan fasiliti, terutama dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Inisiatif ini menunjukkan bagaimana latihan berstruktur, piawaian yang jelas serta kerjasama yang kukuh mampu mempertingkatkan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang baik.

“Pendekatan seperti ini wajar diperluaskan dan dilaksanakan secara lebih meluas bagi memastikan aspek keselamatan dan kesihatan dapat diterapkan secara konsisten merentas semua sektor,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan World OSH Day anjuran NIOSH dan Pelancaran Kursus NMvSP.

Terdahulu, pengiktirafan disampaikan wakil MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin kepada Ketua Pegawai Eksekutif Medivest, Abdullah Hashim dan disaksikan Chieng Jen.

Mengulas lanjut, Chieng Jen berkata, inisiatif tersebut turut mencerminkan pendekatan strategik dalam memperkenalkan latihan keselamatan yang lebih tersusun dan berasaskan kompetensi, selaras dengan keperluan industri masa kini.

Menurutnya, kerjasama antara NIOSH dan Medivest membuktikan bahawa pendekatan kolaboratif antara institusi dan pemain industri mampu menghasilkan penyelesaian yang praktikal serta berimpak tinggi.

“Inisiatif yang diambil Medivest yang merupakan penyedia perkhidmatan sokongan fasiliti penjagaan kesihatan yang terlibat dalam pengurusan hospital kerajaan di beberapa negeri, menjadikan pelaksanaan program ini signifikan dari sudut skala dan impak,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut menegaskan cabaran KKP tidak lagi terhad kepada risiko fizikal semata-mata tetapi melibatkan aspek psikososial seperti tekanan kerja, keletihan melampau dan keseimbangan kerja dan kehidupan.

Tambahnya, berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) lebih 66,000 kes kemalangan pekerjaan pada tahun 2024, manakala statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan lebih 8,000 kes penyakit pekerjaan dilaporkan pada tahun 2023 dengan kebanyakannya melibatkan gangguan pendengaran akibat bunyi bising serta masalah muskuloskeletal.

“Statistik ini menunjukkan bahawa pendekatan KKP perlu lebih menyeluruh, merangkumi aspek fizikal dan juga kesejahteraan mental pekerja, selaras dengan aspirasi negara di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026-2030 (OSHMP30),” katanya.

 

Scroll to Top