Produk kurus badan antara ubat tidak berdaftar cuba diseludup di KLIA

Produk kurus badan antara ubat tidak berdaftar cuba diseludup di KLIA

SEPANG: Sejumlah RM7.7 juta nilai rampasan melalui dua cubaan penyeludupan ubat-ubatan tidak berdaftar dan racun terkawal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM7.7 juta.

Komander Pintu Masuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA, Mohd Safrie bin Zakaria berkata, kejayaan itu melibatkan dua tangkapan berasingan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA dalam tempoh dua hari berturut-turut.

Beliau berkata, kes pertama membabitkan penahanan seorang lelaki warga China berusia 40 an yang tiba dari Bangladesh yang ditahan di Terminal 1 kira-kira pukul 3.30 pagi, 26 April lalu dengan nilai rampasan bagi kes ini dianggarkan berjumlah RM2.335 juta.

“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi mendapati suspek membawa sebanyak 3,300 unit ubat suntikan berlabel Tirzide yang disyaki tidak berdaftar. Produk tersebut dipercayai mengandungi Tirzepatide, iaitu bahan racun terkawal di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Safrie berkata, kes kedua pula melibatkan seorang wanita berusia 50an yang tiba dari Bangladesh dan ditahan di Terminal 2 KLIA kira-kira pukul 5.30 pagi, semalam.

“Pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 8,840 unit ubat suntikan yang disyaki tidak berdaftar, termasuk jenama Tirzide dan Tirzep dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM5.4 juta,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes kini disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952 serta Akta Racun 1952.

Sementara itu, Mohd Safrie berkata, siasatan awal mendapati, ubat-ubatan itu dikeluarkan di Bangladesh dan dipercayai untuk dijual di pasaran China.

“Ubat-ubatan yang dirampas termasuk antibiotik, ubat bagi penyakit kencing manis serta produk kurus badan yang tular di pasaran. Nilai ubat-ubatan tersebut dianggarkan antara RM300 hingga RM1,800 bergantung kepada jenis, termasuk yang dijual dalam bentuk pen seperti insulin,” katanya.

Katanya, ubat-ubatan itu ditahan kerana ia dibawa dalam kuantiti besar dan bukannya dalam bagasi peribadi yang biasa ditemui dalam jumlah kecil. – UTUSAN

Scroll to Top