Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa meluahkan rasa kecewa apabila pelaksanaan tahanan rumah terhadap bapanya ditangguhkan sementara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), meskipun keluarga mereka sudah bersedia untuk menyambut kepulangan beliau.
Sangka akan jadi hari paling gembira
Menerusi perkongsian di media sosial, Nooryana menyatakan, mereka sekeluarga pada awalnya menyangka ia akan menjadi detik menggembirakan selepas segala persiapan dilakukan bagi menyambut kepulangan bapanya.
Menurutnya, keluarga Najib juga sudah berhubung dengan pelbagai pihak sejak pagi bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar.
“Sejak pagi tadi (semalam), Yana sekeluarga tidak putus-putus berhubung dengan pelbagai pihak kerana mahu pastikan semuanya berjalan lancar supaya ayah dapat pulang ke rumah hari ini.
“Seperti yang media laporkan, sekitar jam 12 tengah hari, denda RM50 juta sudah dibayar kepada mahkamah oleh UMNO.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada Tabung Solidariti Datuk Seri Najib.
“Tak kiralah besar atau kecil, setiap sumbangan adalah sangat bermakna bagi keluarga saya.
“Ia jelas menunjukkan betapa ramai yang menyayangi dan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Najib,” katanya.
Tunggu diluar mahkamah pada pagi hari
Nooryana turut menceritakan bahawa beliau menunggu di luar mahkamah pada waktu pagi sebelum menerima perintah mahkamah berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bapanya selepas bayaran RM50 juta diselesaikan.
Katanya, perintah tersebut kemudian dibawa ke Penjara Kajang dan keluarga dimaklumkan bahawa Najib akan dibawa pulang selepas pihak penjara menerima dokumen berkenaan.
“Perintah itu kemudian dibawa ke penjara Kajang dan seperti yang kami faham berdasarkan perintah pengampunan bersyarat Tuanku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bayaran RM50 juta adalah syarat utama untuk (Datuk Seri) Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
“Bayaran RM50 juta itupun sudah dilaksanakan. Kami kemudian dimaklumkan yang pihak penjara akan membawa ayah pulang selepas menerima perintah mahkamah berkenaan.
“Mula-mula kami diberitahu pukul 5 petang, kemudian berubah ke 8.30 malam. Jadi kami tunggu.
“Tapi sekitar jam 2 petang , kami dapat maklumat yang pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang cuba menangguhkan pembebasan ayah.
“Namun, kami sekeluarga masih yakin sebab kami difahamkan daripada segi prosedur, perintah mahkamah yang sudah dikeluarkan sepatutnya mencukupi.
“Tetapi akhirnya Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan untuk menangguhkan proses terbabit,” katanya.

Teringat tentang titah adendum libat bapa
Dalam masa sama, Nooryana mempersoalkan mengapa keluarga mereka tidak dimaklumkan lebih awal sekiranya terdapat syarat tambahan yang perlu dipenuhi, sedangkan bayaran RM50 juta sudah diterima.
Beliau turut menyifatkan situasi tersebut mengingatkan mereka kepada pengalaman sebelum ini berhubung titah adendum yang melibatkan bapanya.
“Apa yang berlaku ini mengingatkan kami kepada pengalaman akhir titah addendum sebelum ini. Banyak kali berlaku perubahan dan keadaan tidak menentu dengan penangguhan demi penangguhan.
“Setiap kali kami rasa ayah dah semakin hampir nak balik, ada sahaja halangan baharu. Sampai bila?
“Kami cuma memohon keadilan, ketelusan. Kami mahu perintah Sultan Ibrahim dihormati dan kedaulatan undang-undang ditegakkan.
“Kepada daddy. Saya tahu awak tidak menonton perkara ini malam ini.Tapi saya harap daddy tahu kami sedang buat segalanya yang kita mampu untuk bawa daddy balik.
“Kami tahu daddy rindu keluarga ini dan kami semua juga rindukan daddy,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan UMNO mengesahkan segala proses pembayaran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berjumlah RM50 juta sudah diselesaikan pada pagi tadi sebagai syarat untuk Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.
Sumber: Facebook Yana Najib




