Nor Hakim Hassan sah milik skuad Penyu

Nor Hakim Hassan sah milik skuad Penyu

BEKAS pemain Selangor FC, Nor Hakim Hassan sah menjadi milik Terengganu FC (TFC) selepas menandatangani kontrak setahun dengan pasukan itu yang berpangkalan di Kuala Nerus.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Ab Rasid Jusoh pemain berusia 32 tahun itu akan memperkuat skuad Penyu bagi mengharungi pusingan kedua saingan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala Konfederasi Asia (AFC) yang dijadual bermula Ogos depan.

Beliau berkata, Nor Hakim yang juga bekas pemain kebangsaan akan mengemudi bahagian tengah yang ketika ini menjadi posisi kritikal skuad Penyu.

“Kita harap kehadiran Nor Hakim akan membantu menaikkan TFC ke kedudukan lebih baik di Liga Super dan kejohanan lain yang penting selepas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nor Hakim berkata beliau gembira kerana akhirnya dapat pulang beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya selepas kali terakhir bersama T-Team FC pada 2015.

Lebih menggembirakan, beliau juga akan berada di bawah bimbingan Tomislav Steinbruckner, jurulatih sama yang mengendalikan T-Team FC ketika itu.

“Sedikit sebanyak saya sudah faham dan tahu apa yang diinginkan coach (ketua jurulatih) Tomi daripada pemainnya. Ini antara faktor saya memilih berhijrah ke Terengganu.

“Bagaimanapun mungkin terdapat perubahan pada cara latihannya sesuai dengan perubahan masa. Apapun saya akan beri yang terbaik untuk membantu pasukan baharu nanti,” katanya.

Nor Hakim sebelum ini membantu Perak FC menjulang juara Piala Malaysia pada 2018 sebelum berkelana ke Selangor FC selama empat musim.

Beliau juga membuat enam penampilan ketika bersama Harimau Malaya dengan kali terakhir beraksi di Piala Mitsubishi Electric 2022 yang menyaksikan Malaysia layak ke separuh akhir. – Bernama.