puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Datuk Adi Putra mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah merangkap Pengarah Perkongsian Strategik di Aliyah Rizq Holdings Pte. Ltd. serta Pengarah Eksekutif Aliyah Rizq Farm Sdn. Bhd. bermula semalam.
Menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di Instagramnya, Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 45, mengesahkan dia tidak lagi memegang sebarang jawatan serta tanggungjawab dalam pengurusan kedua-dua syarikat terbabit.
“Oleh yang demikian, segala keputusan, kenyataan, urusan perniagaan, promosi, pelaburan, kerjasama strategik, transaksi, dokumen atau representasi yang dibuat oleh Aliyah Rizq Holdings Pte. Ltd. dan Aliyah Rizq Farm Sdn. Bhd. selepas tarikh kuat kuasa peletakan jawatan adalah sepenuhnya di bawah tanggungjawab pihak syarikat masing-masing.
“Ia tidak lagi mewakili pendirian atau penglibatan saya dalam apa jua kapasiti,” katanya menerusi kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, pelakon filem Konspirasi itu turut menggesa mana-mana pihak agar menghentikan serta merta penggunaan imej serta reputasinya yang boleh memberi gambaran bahawa dia masih mempunyai hubungan rasmi dengan syarikat berkenaan.
“Mana-mana pihak yang masih menggunakan nama, imej, gambar, suara, identiti atau reputasi saya bagi tujuan promosi, pemasaran, pelaburan, kutipan dana, representasi atau apa-apa bentuk komunikasi yang boleh memberi gambaran bahawa saya masih mempunyai hubungan rasmi dengan syarikat berkenaan diminta menghentikannya serta merta, melainkan mendapat kebenaran bertulis daripada saya,” katanya.
Menerusi kenyataan sama, Adi Putra turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan, Ahli Lembaga Pengarah, kakitangan, rakan strategik, pelanggan dan semua pihak yang memberikan kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan, Ahli Lembaga Pengarah, kakitangan, rakan strategik, pelanggan dan semua pihak yang telah memberikan kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatan saya.
“Saya mendoakan agar kedua-dua syarikat terus maju dan berjaya pada masa hadapan,” katanya lagi.
Menurutnya, kenyataan rasmi itu dikeluarkan khusus bagi menjelaskan kedudukan sebenar dirinya, sekali gus mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pihak berkepentingan dan orang ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




