georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Walaupun terbuka menerima jodoh baharu selepas 29 tahun bergelar ibu tunggal, pelakon Noralbaniah belum bertemu calon yang tepat untuk dirinya.
Noralbaniah atau nama sebenarnya Nor Albaniah Raffie, 55, berkata dia ada berjumpa serta berkenalan dengan lelaki, namun sukar mencari yang terbaik dan memiliki ciri paling penting iaitu kejujuran.
“Tipulah tak pernah jumpa (kenal-kenal). Tak jumpa lagi orang yang baik. Saya banyak jumpa lelaki tak jujur. Misalnya baru jumpa sudah pegang tangan, jangan ambil kesempatan.
“Saya okay saja tapi kena orang yang baik dan jujur. Sebab saya ini bukan bercerai, suami saya sudah meninggal lama. Kalau nak kahwin (dengan saya), jujurlah jaga saya. Saya takut orang tak boleh jaga saya, itu saja,” katanya.
Noralbaniah tidak menafikan wujud perasaan untuk berumah tangga dan ada didekati terutama rakan-rakan arwah suaminya, tetapi bukan dalam kalangan artis.
“Saya cuma rasa hidup berumah tangga selama dua tahun. Sebelumnya ada juga kawan-kawan suami yang cuba dekat. Yang jujur ada dan tidak ketinggalan kurang jujur pun ada juga.
“Tapi itulah, tak ada pula kawan-kawan artis nak pikat. Mungkin ada yang cuba ‘tackle’ tapi saya ini yang tak reti bahasa,” katanya.
Dia juga berkongsi bagaimana meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal selama hampir tiga dekad yang bukan mudah, tetapi bersyukur kerana keluarga tersayang memberi sokongan kuat.
“Dulu selepas kemalangan teruk, saya ambil masa lama untuk pulih. Banyak masuk kelas termasuk mengusahakan perniagaan untuk membesarkan anak.
“Jadi, bila sudah kembali pulih, saya ambil keputusan untuk ke Kuala Lumpur dan menjalani penggambaran. Begitulah yang saya lalui sejak peristiwa kemalangan itu, jadi memang perlu banyak bersabar.
“Selain itu, adik-beradik banyak bantu sebab saya paling bongsu. Kadang-kadang bantu ini tidak hanya dengan duit, tapi kita perlukan sokongan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Noralbaniah bakal menjalani penggambaran filem Manrobbuka arahan Suhaimi Lua.
Turut membintangi filem itu adalah Wanie Ooi, Khaled Asharieff, Haidar Hasanudin, Adam Furqan dan lain-lain.
Noralbaniah pernah mendirikan rumah tangga bersama pelumba kereta iaitu Sudarman Daud pada 1994 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Syarra.
Bagaimanapun, jodoh mereka tidak panjang apabila Sudarman meninggal dunia pada 1996 akibat nahas jalan raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




