am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Norish Karman menepis dakwaan segelintir pihak apabila melabelkan dirinya sebagai ‘scammer’ susulan menerima bantuan RM200,000 daripada usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri.
Norish atau nama sebenarnya Nor’Ashikin Karman, 52, menegaskan wang berkenaan digunakan untuk keperluan penting termasuk melangsaikan hutang lama serta merancang masa depan anak-anaknya.
Menurutnya, dia kecewa apabila ada pihak cuba memburukkan namanya sedangkan dirinya hanya berusaha meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal.
“Sebahagian daripada RM200,000 itu saya gunakan untuk membayar hutang kepada sahabat yang pernah membantu kami sebelum ini.
“Kepada sesiapa yang rasa mahu tuntut hutang, boleh sahaja hantar mesej peribadi kepada saya. Tidak perlu memburukkan saya di Facebook atau bergandingan dengan blogger dan mendakwa saya scammer.
“Kalau saya scammer, saya tidak akan tampil begini. Saya hanya seorang ibu tunggal yang sedang berjuang demi anak-anak,” katanya dalam podcast Bukak Mulut.
Pelakon filem Anakku Sazali itu berkata, sebahagian wang berkenaan juga akan digunakan untuk merealisasikan impiannya membuka perniagaan makanan dan minuman (F&B) sebagai sumber pendapatan jangka panjang.
“Saya memang minat bidang F&B dan bercadang membuka warung atau kedai kecil untuk berniaga.
“Ramai juga bertanya bila saya mahu buka kedai sendiri, jadi mungkin itu antara perancangan saya. Tetapi bukan keseluruhan wang itu digunakan untuk tujuan tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, Norish berkata, dia turut mahu menggunakan sebahagian wang diterima bagi menyediakan perlindungan insurans buat lapan anaknya.
“RM200,000 bukan jumlah yang besar pada zaman sekarang, tetapi kalau diurus dengan baik, ia boleh membantu masa depan keluarga saya.
“Mungkin saya akan pastikan ada simpanan untuk tahun-tahun mendatang selain menyediakan insurans untuk anak-anak,” katanya.
Terdahulu, tular dakwaan kononnya Norish mahu membeli kereta menggunakan wang RM200,000 yang diterima daripada Aliff Syukri, namun mereka tampil menafikan dakwaan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




