Norris 'berapi' di Hungaroring, McLaren kuasai sesi latihan pertama

Norris 'berapi' di Hungaroring, McLaren kuasai sesi latihan pertama

Budapest: Pelumba McLaren, Lando Norris mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatat masa terpantas dalam sesi latihan bebas pertama Grand Prix Hungary, sekali gus mengesahkan dominasi pasukan itu di Litar Hungaroring, hari ini.

Norris, yang kini hanya ketinggalan 16 mata di belakang rakan sepasukannya, Oscar Piastri dalam kejuaraan dunia, mencatat masa 1 minit 16.052 saat iaitu hanya 0.019 saat lebih pantas daripada Piastri yang turut menunjukkan prestasi mantap.

Di belakang mereka, pelumba Ferrari, Charles Leclerc, muncul pencabar terdekat dengan catatan dua persepuluh saat lebih perlahan. Pendatang baharu Racing Bulls, Isack Hadjar, terus mencuri perhatian di tempat keempat, diikuti Lewis Hamilton yang kini bersama Ferrari dan Oliver Bearman dari Haas.

Hamilton, juara dunia tujuh kali yang juga pemenang lapan kali di Hungary, pada awal sesi bergelut dengan cengkaman tayar sederhana sebelum bangkit memperbaiki masa dan menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik.

Turut mencuri tumpuan, Kimi Antonelli (Mercedes) dan rakan sepasukannya George Russell, masing-masing di tempat ketujuh dan kelapan. Juara dunia empat kali, Max Verstappen pula menamatkan sesi di tangga kesembilan, sehari selepas mengesahkan akan kekal bersama Red Bull musim depan.

Sesi bermula dalam cuaca panas dan cerah di litar yang terletak kira-kira 20 kilometer dari ibu kota Hungary, dengan Felipe Drugovich menggantikan Fernando Alonso yang mengalami kecederaan otot belakang. Alonso baru saja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-44 minggu ini.

Insiden turut berlaku apabila Paul Aron, yang menggantikan Nico Hulkenberg di Sauber, terpaksa memberhentikan keretanya di selekoh 13 akibat masalah teknikal ‘system critical alarm’.

Kejayaan Norris hari ini dilihat sebagai satu isyarat awal bahawa dia bersedia mengubah kedudukan dalam perebutan takhta dunia, terutamanya di litar yang terkenal dengan cabaran teknikal dan ketat seperti Hungaroring.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top