Norway berpesta, putera mahkota turut 'mendayung'

Norway berpesta, putera mahkota turut 'mendayung'

Stockholm: Putera Mahkota Norway, Putera Mahkota Haakon meninggalkan istana diraja untuk meraikan dan melakukan aksi ‘mendayung’ bersama puluhan ribu rakyat Norway selepas kejayaan bersejarah pasukan mereka menewaskan Brazil pada saingan Piala Dunia, lapor Agensi Berita Jerman (DPA).

Rakyat Norway membanjiri jalan-jalan raya sejurus wisel penamat dibunyikan di East Rutherford dengan polis menganggarkan kira-kira 100,000 orang meraikan kemenangan 2-1 hasil dua gol daripada Erling Haaland.

Penyokong yang dibuai kegembiraan berkumpul di Dataran Istana Diraja manakala Haakon turut menyertai mereka melakukan aksi mendayung yang kini menjadi simbol sambutan popular, merujuk kepada warisan nenek moyang Viking mereka.

Anak-anak Haakon, Puteri Ingrid Alexandra dan Puteri Sverre Magnus berada di East Rutherford ketika Norway melangkah ke suku akhir kejohanan itu buat kali pertama dalam sejarah.

Sebuah video yang dimuat naik keluarga diraja menunjukkan mereka memeluk Haaland di bilik persalinan serta berbual dengan penjaga gol, Orjan Nyland yang mempamerkan aksi cemerlang menerusi beberapa siri penyelamatan penting termasuk menafikan sepakan penalti lawan.

“Malam ini adalah malam paling gila, mungkin dalam seluruh sejarah Norway,” kata Haaland kepada penyiar Norway, NRK.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top