Novo Nordisk perkenal jenama korporat baharu di Malaysia

Novo Nordisk perkenal jenama korporat baharu di Malaysia

SYARIKAT penjagaan kesihatan global, Novo Nordisk memperkenalkan jenama korporat baharunya di Malaysia menerusi tema ‘Kesihatan berkekalan bermula sekarang’.

Ketua Akses Pasaran dan Hal Ehwal Awam Novo Malaysia, Tee Loong Tek berkata, bagi pihaknya bab seterusnya itu perlu dirasai relevan dengan kehidupan seharian masyarakat.

“Keadaan kronik seperti obesiti dan diabetes dialami setiap hari, bukan hanya ketika mendapatkan konsultasi.

“Kami mahu mendekatkan sains dengan realiti itu supaya masyarakat dapat lebih memahami kesihatan mereka, mengetahui bila perlu mendapatkan sokongan dan berasa lebih yakin untuk mengambil tindakan.

“Kerjasama kukuh merentasi ekosistem penjagaan kesihatan Malaysia akan menjadi bahagian penting dalam merealisasikan kemajuan itu,” katanya.

Penjenamaan semula itu mencerminkan kepercayaan bahawa kesihatan jangka panjang yang lebih baik dibina melalui kemajuan yang dapat dilihat dan dirasai masyarakat dalam kehidupan seharian.

Novo Nordisk perkenal jenama korporat baharu di Malaysia

Novo Nordisk perkenal jenama korporat baharu di Malaysia

Di peringkat global, syarikat itu akan menggunakan nama lebih ringkas, ‘Novo’ dalam urusan harian, manakala Novo Nordisk A/S kekal sebagai nama rasmi syarikat di peringkat global.

Jenama baharu itu diperkenalkan bersama The Novo Way, iaitu budaya korporat yang dikemas kini bagi membantu syarikat beroperasi dengan lebih fokus, pantas dan berimpak ketika sektor penjagaan kesihatan semakin kompetitif, didorong teknologi dan dipengaruhi perubahan jangkaan masyarakat.

Perubahan itu berlaku ketika Malaysia terus berdepan beban penyakit kronik yang ketara.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 mendapati 54.4 peratus orang dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau hidup dengan obesiti, manakala 15.6 peratus menghidap diabetes.

Pakar Perunding Endokrinologi Kanan dan Ketua Unit Endokrin di Universiti Malaya, Profesor Dr Jeyakantha Ratnasingam berkata, obesiti dan diabetes jarang berlaku secara berasingan.

“Dalam amalan klinikal, kita sering melihat beberapa risiko yang saling berkaitan, termasuk paras gula dalam darah, tekanan darah, kolesterol dan lebihan lemak badan.

“Lebih awal seseorang memahami risiko ini dan mendapatkan perbincangan yang tepat mengenai kesihatan mereka, lebih besar peluang untuk mengambil tindakan yang bersesuaian serta menyokong kesihatan yang lebih baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Teras kepada jenama baharu itu ialah usaha melihat kesihatan melalui perspektif keseluruhan individu dengan mengiktiraf bahawa kesihatan fizikal tidak wujud secara berasingan daripada kesejahteraan mental, rutin harian, hubungan, keadaan sosial dan persekitaran tempat seseorang menjalani kehidupan.

Pendekatan itu mencerminkan hala tuju lebih luas di sebalik jenama baharu Novo, iaitu kesihatan semakin diuruskan dari hari ke hari, masyarakat mahu melihat kemajuan yang boleh mereka kenal pasti dalam kehidupan sendiri dan mempunyai lebih banyak sumber maklumat serta sokongan kesihatan berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu, menurut Profesor Emeritus Perubatan Endokrin Universiti Malaya dan Pakar Perunding Endokrinologi, Dr Chan Siew Pheng, penyakit kronik dialami dalam tempoh antara lawatan pesakit ke klinik dengan doktor.

“Memahami bagaimana tubuh kita berfungsi dan bagaimana penyakit seperti obesiti serta diabetes boleh diuruskan terus kekal penting tetapi begitu juga dengan realiti kehidupan seharian, termasuk apa yang dimakan, bagaimana seseorang tidur, tahap aktiviti, tekanan, keadaan keluarga dan sama ada mereka berasa mampu mendapatkan bantuan.

“Bagi keadaan seperti ini, kesedaran lebih awal dan perbincangan berasaskan maklumat adalah penting kerana risiko sering berkembang dari semasa ke semasa.

“Membantu masyarakat memahami kesihatan mereka sebelum komplikasi berlaku memberi kita peluang yang lebih baik untuk menyokong perubahan yang bermakna serta kemajuan yang berkekalan,” katanya.

Dalam pada itu, identiti visual baharu Novo mengekalkan lembu Apis sebagai simbol yang berakar umbi dalam sejarah syarikat, bersama logo perkataan Novo dan sistem visual kontemporari bagi mengukuhkan pengiktirafan serta keseragaman di seluruh pasaran.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Novo, Mike Doustdar berkata, penjagaan kesihatan perlu menjadi lebih responsif, relevan dan mudah disesuaikan dengan kehidupan seharian.

“Jenama dan budaya kami penting dari sudut strategik serta akan meningkatkan cara kami beroperasi dan bersaing, tetapi sebab kewujudan kami tidak akan berubah.

“Kami kekal setia kepada tujuan untuk mengubah kehidupan masyarakat dan bercita-cita tinggi terhadap masa depan bagi membantu mereka mencapai kesihatan yang berkekalan, bermula sekarang,” katanya.

Bersama jenama baharu itu, The Novo Way menetapkan cara syarikat berhasrat untuk bekerja dan bersaing dalam bab seterusnya, sambil mengekalkan kepakaran saintifik, keprihatinan terhadap masyarakat serta komitmen terhadap keselamatan dan etika yang membentuk Novo selama lebih satu abad.

Ia dibina berasaskan empat prinsip iaitu Customer Obsession, Competitiveness, Clarity serta Care & Integrity.

Identiti korporat baharu itu akan diterapkan secara berperingkat dalam komunikasi Novo serta saluran interaksi dengan pihak berkepentingan di Malaysia.

Tujuan asasnya kekal memberi tumpuan kepada usaha memacu perubahan demi kesihatan yang berkekalan menerusi tema ‘Lasting Health Starts Now’.

Scroll to Top