NPE baiki tampalan jalan berbentuk ‘X’ esok

NPE baiki tampalan jalan berbentuk ‘X’ esok

 

PETALING JAYA: Kerja pembaikan kekal terhadap tampalan jalan berbentuk ‘X’ di Kilometer 12.5 hingga Kilometer 12.8 arah Bangsar, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) akan dilaksanakan esok bagi mengembalikan permukaan turapan lebuh raya itu kepada keadaan asal.

NPE Sdn. Bhd. dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tampalan jalan berhampiran Angkasapuri yang tular di media sosial itu hanya bersifat sementara selepas kerja-kerja piloting dijalankan.

“Kami mengambil maklum berkenaan isu ini. Pihak NPE ingin memaklumkan bahawa kawasan “X” merupakan kawasan kerja pembinaan Projek Sambungan Lebuhraya Baru Pantai.

“Kerja pembaikan tetap untuk kawasan tersebut telah dirancang pada 11 Julai 2026 untuk mengembalikan semula keadaan asal permukaan turapan lebuh raya,” katanya.

Pada masa sama, syarikat konsesi itu menghargai maklum balas orang ramai berhubung keadaan jalan tersebut dan memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pengguna.

“Kami kekal komited untuk memastikan kelancaran trafik demi keselesaan pengguna lebuh raya sepanjang kerja-kerja pembinaan projek ini dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top