aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kejohanan Ragbi NRDP Kebangsaan 7s Lelaki & Perempuan 2026 menjadi pentas penting buat pemain bawah 18 tahun negara memburu tempat dalam skuad kebangsaan ke Kejohanan Asia Ragbi Emirates Bawah 18 Tahun 7 Sebelah di Qingdao, China pada 5 dan 6 September ini.
Presiden Malaysia Ragbi (MR), Amir Amri Mohamad berkata, kejohanan yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 25 dan 26 Julai ini bukan sekadar menentukan pasukan terbaik, malah menjadi platform rasmi mengenal pasti bakat baharu untuk memperkukuhkan barisan pelapis negara.
Katanya, setiap pemain akan dinilai panel kejurulatihan kebangsaan dan mereka perlu memanfaatkan peluang itu dengan mempamerkan disiplin, semangat kesukanan serta prestasi terbaik bagi merealisasikan impian menyarung jersi Malaysia.
“Kejohanan ini menghimpunkan 32 pasukan membabitkan 16 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita bawah 18 tahun dari seluruh negara, termasuk penyertaan Pulau Pinang yang diselaraskan MR bagi memastikan semua negeri mempunyai wakil.
“Sebanyak 74 perlawanan akan berlangsung sepanjang dua hari kejohanan membabitkan penyertaan 416 atlet, 108 pegawai serta pengurusan pasukan, selain 28 pegawai perlawanan dan 35 pegawai teknikal,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang memberi kepercayaan kepada MR untuk mengendalikan kejohanan itu, sambil menyifatkannya sebagai tanggungjawab besar dalam memperkukuhkan pembangunan ragbi negara.
Menurutnya, kejohanan berkenaan adalah antara komponen penting dalam laluan pembangunan pemain kebangsaan sebelum mereka diserap ke program pembangunan elit dan seterusnya mewakili negara di pentas antarabangsa.
Beliau berharap Kejohanan Ragbi NRDP Kebangsaan 7s Lelaki & Perempuan 2026 terus menjadi platform melahirkan lebih ramai pemain muda berkualiti yang mampu mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asia dan dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




