sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) berhasrat untuk membawa masuk pemain import baharu pada sesi perpindahan kedua bermula 5 Januari depan, dalam usaha memantapkan kekuatan pasukan itu bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.
Perkembangan terkini itu dikongsikan ketua jurulatih, Nidzam Jamil, yang memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti pemain terbabit, namun beliau enggan mengumumkan nama kerana tidak mahu mendahului pihak pengurusan kelab.
“Menjelang sesi perpindahan kedua Januari nanti, banyak kelab akan mengambil peluang untuk membawa masuk pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan masing-masing kerana Liga Malaysia ini adalah liga marathon, makin hujung saingannya makin mengila.
“Sama seperti Negeri Sembilan, ada kemungkinan kita akan sain satu dua pemain untuk perkuatkan pasukan selaras dengan harapan tinggi semua pihak terutama penyokong dan peminat setia.
“Jadi, supaya kita dapat terus bersaing dengan baik, kita kena tambah pemain dan kuatkan pasukan, tambahan pula kita terpaksa lepaskan pemain pinjaman, Alexander Agyarkwa kepada pasukan asal, Selangor FC,” kata Nidzam hari ini.
Mengulas lanjut, pengendali berusia 45 tahun itu berkata, berpandukan persembahan dan pencapaian skuad Hobin Jang Hobin dalam liga setakat ini, sememangnya terdapat keperluan untuk pihaknya membawa masuk pemain import baharu dalam usaha mendapatkan keseimbangan selain bagi melakukan penambahbaikan.
“Setakat ini kita lihat ada satu dua posisi yang memerlukan suntikan baharu terutama di bahagian tengah dan dengan kehilangan Agyarkwa, hanya ada tiga pemain di posisi berkenaan ketika ini.
“Jadi, kita perlukan pemain import berprestasi yang boleh membantu menjana jentera tengah dengan lebih efektif,” kata pengendali itu yang menjadi musim pertama baginya mengendalikan skuad Rusa.
Dalam pada itu, Nidzam sedar harapan tinggi penyokong terhadap pencapaian pasukan itu musim ini dan walaupun pemain telah cuba menunjukkan persembahan terbaik mereka, namun ada ketikanya tidak sama dengan keputusan yang diperoleh.
“Ada ketikanya atas kertas ia nampak meyakinkan tapi tidak sama dengan apa yang diterjemahkan di atas padang dan bola sepak adalah permainan berpasukan.
“Kita juga dalam proses membina sebuah pasukan di masa hadapan, bukan saja kita mahu dapatkan keputusan terbaik dan tidak kalah, tapi harus difahami ia suatu proses yang memerlukan masa untuk mendapatkan prestasi terbaik setiap minggu,” katanya.
Nidzam akui berpuas hati dengan pencapaian Negeri Sembilan di tempat keenam liga ketika ini berbanding pencapaian diraih musim lalu, dan percaya skuad bimbingannya berpeluang untuk melonjak naik di kedudukan lebih baik terutama pada pusingan kedua liga nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




