NSTP-RTM juara Bowling Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya

NSTP-RTM juara Bowling Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya

sukan@hmetro.com.my

Melaka: Pasukan gabungan NSTP bersama RTM muncul juara Kejohanan Bowling Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Bersama Media Melaka di Pusat Bowling Antarabangsa Melaka (MIBC) kelmarin.

Kejohanan anjuran Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) bersama parlimen berkenaan menghimpunkan lebih 48 pengamal media dan jemputan dari pelbagai agensi media di negeri terbabit.

Selaku juara, pasukan NSTP-RTM membawa pulang wang tunai RM400 berserta piala dan iringan.

Antara organisasi media yang mengambil bahagian termasuk TV3, kumpulan NSTP yang membabitkan Harian Metro dan Berita Harian, Melaka Hari Ini, Sinar Harian, Kosmo, Utusan Malaysia, Media Ketua Menteri, Malaysia Gazette dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim, turut memeriahkan kejohanan apabila beraksi mewakili Pasukan Parlimen Hang Tuah Jaya, sekali gus menunjukkan sokongan berterusan kepada pengamal media di Melaka.

Turut hadir Presiden PENDIKA, Amir Mamat, yang bersama-sama memeriahkan kejohanan serta menyampaikan sokongan kepada usaha mengeratkan hubungan strategik antara media dan pemimpin masyarakat.

Adam Adli berkata kejohanan seumpama itu bukan sekadar platform pertandingan sukan, malah menjadi medium terbaik untuk mengukuhkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara pengamal media dan komuniti.

Katanya, media antara rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat justeru program memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi dalam suasana santai.

“Malah program mengeratkan ukhwah serta menghargai jasa dan komitmen pengamal media yang sentiasa memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata, program berkenaan juga yang kedua selepas kejayaan penganjuran pada tahun lalu sambil mengharapkan kejohanan seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan.

Kejohanan berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dalam suasana meriah, sekali gus membuktikan sukan mampu menjadi platform terbaik dalam memupuk semangat berpasukan, perpaduan dan persahabatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top