Nuklear Malaysia anjur SMSI 2026, platform perkukuh keselamatan infrastruktur kritikal negara

Nuklear Malaysia anjur SMSI 2026, platform perkukuh keselamatan infrastruktur kritikal negara

Agensi Nuklear Malaysia terus memperkukuh ekosistem integriti bahan dan struktur kejuruteraan menerusi penganjuran 10th National Seminar on Material and Structural Integrity (SMSI) 2026 yang berlangsung pada 22 hingga 23 Julai di Hotel Royale Chulan Seremban.

Seminar beri tumpuan kepada beberapa pembangunan utama

Menerusi seminar edisi ke-10 tersebut, Nuklear Malaysia telah menghimpunkan pengamal industri, institusi pengajian tinggi, badan profesional dan agensi kerajaan bagi berkongsi kepakaran, teknologi serta amalan terbaik dalam bidang sains bahan, integriti struktur dan teknologi pemeriksaan.

Mengangkat tema “From Advanced Materials to Resilient Infrastructure: Bridging Science and Safety”, seminar tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan bahan termaju, teknologi pemeriksaan tanpa musnah (NDT), kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta penilaian integriti struktur bagi memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan infrastruktur kritikal negara.

Foto: YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (dari kiri) bersama YBrs. Ts. Dr. Rodzi bin Ali, Pengarah Kanan Program Pengkomersialan & Perancangan Teknologi Agensi Nuklear Malaysia (dua dari kiri) dan YBrs. Ts. Dr. Radin Zulhazmi bin Radin Abdul Halim, Timbalan Setiausaha Bahagian Teknologi Strategik & Aplikasi (TSA), Kementerian Sains,Teknologi & Inovasi (MOSTI) (dua dari kanan) semasa lawatan di reruai sempena penganjuran 10th National Seminar on Material and Structural Integrity 2026.

Beri penekanan kepada aspek-aspek penting

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin yang menegaskan pembangunan infrastruktur masa kini perlu memberi penekanan kepada aspek daya tahan, keselamatan, kecekapan tenaga dan kelestarian.

“Integriti bahan dan struktur bukan lagi sekadar memenuhi keperluan teknikal, malah perlu dijadikan agenda utama oleh semua pihak yang terlibat dalam reka bentuk dan pembinaan.
“Keutamaan ini penting bagi memastikan keselamatan pengguna dan infrastruktur, menjamin kesejahteraan rakyat serta menghasilkan reka bentuk yang berkualiti dan menarik demi menyokong pembangunan negara,” katanya.

Foto:YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia semasa Majlis Perasmian 10th National Seminar on Material and Structural Integrity 2026 di Hotel Royale Chulan Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan sektor strategik seperti tenaga, minyak dan gas, petrokimia, aeroangkasa, automotif serta penerbangan perlu mengekalkan tahap integriti struktur yang tinggi melalui pematuhan kepada piawaian kebangsaan dan antarabangsa serta penggunaan bahan berkualiti.

Menurutnya lagi, dalam industri nuklear, setiap komponen kejuruteraan kritikal perlu mematuhi spesifikasi Nuclear-Grade dan garis panduan keselamatan antarabangsa bagi memastikan tiada kompromi terhadap aspek keselamatan.

Penganjuran SMSI 2026 juga selari dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menumpukan kepada pembangunan modal insan, penyelidikan, inovasi serta penggunaan teknologi nuklear secara aman, selamat dan bertanggungjawab.

Ia sekali gus memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi akademik dalam membangunkan infrastruktur negara yang lebih mampan serta berdaya tahan.

Scroll to Top