am@hmetro.com.my
Seri Kembangan: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi peringatan kepada Nurul Izzah Anwar untuk bersedia menjadi ‘panglima perang’ sekiranya dipilih menjadi Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu bulan ini.
Beliau berkata, tanggungjawab itu perlu dipikul dengan baik dan untuk mendapatkan sokongan yang berterusan daripada akar umbi, Nurul Izzah juga perlu bersedia untuk melawan lawannya.
“Kalau Nurul Izzah menjadi Timbalan Presiden, beliau kena ambil tanggungjawab dari saya sebagai ‘kaki pukul’ nombor satu mereka yang menyokong secara melulu, membongkarkan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), menjadi perunding parti, berunding dengan BN dan PN.
“Walau apa pun, tidak kira siapa yang dipilih untuk menjawat jawatan itu, ia bukan semata-mata tawaran yang diberikan, sebaliknya bagaimana ia perlu dilakukan dan digerakkan.
“Walau apa juga tawaran yang diberikan, jika tiada taktik yang boleh menghidupkan semangat dan ‘tenaga’ di kawasan itu, jadi perkara itu tidak dapat dilaksanakan,” katanya pada podcast Yang Bakar Menteri, di sini, hari ini.
Ia dipercayai merujuk kepada misi utama Nurul Izzah sekiranya dipilih kelak iaitu menumpukan usaha dan bekerja bersama anggota, pendukung serta sukarelawan parti khususnya membabitkan 50 kerusi marginal dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Bagaimanapun Rafizi berkata, hak bertanding pada pemilihan parti adalah hak masing-masing dan Nurul Izzah mempunyai hujah yang cukup dan perlu dihormati kerana setiap orang mempunyai sumbangan dalam parti.
“Cuma apa yang saya bimbangkan di dalam parti ini ialah mereka yang ‘lebih sudu dari kuah’, suka menimbulkan polemik dalam dan luar parti.
“Saya bimbang persepsi rakyat di luar sebab kita boleh bagi hujah apa pun, yang jadi hakim bukanlah perwakilan sebaliknya ialah pengundi dan Allah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd