syafil.syazwan@hmetro.com.my
LUCA Sickta dan Kmy Kmo kembali dengan sebuah lagu yang sudah lama dihasilkan, Kemana Ni hasil kerjasama dengan Salammusik.
Lagu ini sebenarnya dicipta sejak 2018, tetapi hanya sekarang dikeluarkan kerana mereka menunggu waktu sesuai.
Kini, ia menjadi sebahagian daripada album baharu Luca dan Kmy yang dijadual bakal dilancarkann tahun depan dengan konsep Nusantara sebagai terasnya.
Bertemu duo rap ini serta Salam mewakili Salammusik, mereka berkongsi kisah di sebalik perjalanan Kemana Ni sebagai sebuah karya seni dan pada masa sama, ingin membawa manfaat buat pendengar.
“Lagu ini kami hasilkan selepas Gong Nekara pada 2018. Sepatutnya, selepas kami keluarkan Zuhud, kami nak keluarkan Kemana Ni dulu. Cuma, kami tunda dulu kerana konsep muzik berbeza dan saya rasa masanya tak sesuai waktu itu.
“Kalau sempat dan tak ada halangan, kami akan hasilkan album pada awal tahun depan. Sebab itu saya buat perubahan di saat akhir dan meletakkan elemen Nusantara untuk sesuaikan dengan album. Konsep ini boleh diketengahkan lagi berbanding genre muzik lain untuk menembusi pasaran luar,” kata Luca.
Menurut Luca, mereka juga mengakui cabaran utama adalah untuk menyelami kehendak pendengar muzik terutama Gen Z yang tidak dapat dijangka.
“Kami agak terkejut kerana Gong Nekara memberi satu impak sangat besar sampai sekarang. Jadi, bunyi-bunyi itu kami terpaksa bawakan kepada pendengar sebab itu yang diidamkan pendengar waktu itu.
“Jadi, kami terpaksa tunda sementara sebab kalau tak, ia tak mungkin jadi Kemana Ni yang sekarang. Yang versi asal, lebih kepada reggae.
“Kami cuba sebab Gen Z adalah generasi yang kami paling tak boleh jangkakan apa yang mereka mahu. Jadi, kami cuba meluaskan kapasiti kami dari segi bunyi supaya mereka mendapat manfaat dari situ,” katanya.
Kemana Ni menjadi lebih daripada sekadar lagu hip-hop biasa. Ia menggabungkan elemen muzik tradisional dengan bunyi moden, menjadikannya satu karya menarik dan unik.
Gabungan bunyi ini bukan saja menampilkan kreativiti mereka, tetapi juga memberi penghormatan kepada budaya Nusantara yang kaya.
“Konsep album pun kami akan cuba bawakan Nusantara itu. Kami terlalu sayangkan bunyi-bunyian Nusantara dan nak generasi baharu tahu apa muzik dan muzikal dalam tradisi yang kita ada, yang kita boleh modenkan supaya generasi sekarang boleh mendengar sesuatu yang ‘catchy’, tetapi ada manfaatnya.
“Saya rasa album itu nanti kami akan cuba buat yang terbaik dan kalau ada rezeki, kami sasarkan untuk bekerjasama dengan artis dari luar negara. Sekarang, sohor kini lagu ‘catchy’. Jadi, kami ubah bunyi asal Kemana Ni kepada arah yang lebih ‘catchy’ dan bertenaga,” kata Kmy.
Bagi Salam, proses rakaman jarak jauh bukan sesuatu yang sukar memandangkan dia menetap di Amsterdam sejak 16 tahun lalu.
“Ketika pertama kali dengar, saya sangat teruja. Seperti yang Luca cakap, rakaman pertama dah jadi. Rakaman seterusnya, saya cuba rakam, tetapi tak sampai. Mungkin rakaman pertama itu dah penuh dengan kejujuran.
“Kemudian, selain lirik dan vokal, pasukan Salammusik ada sumbangkan bunyi dram. Dari situ juga kami fikirkan bagaimana untuk sesuaikan dengan alatan muzik lain,” katanya.
Di Belanda, Salam masih aktif melakukan kerja belakang tabir dan pulang ke tanah air sekiranya perlu untuk menyelesaikan tugas bersama kumpulannya, Salammusik.
“Saya dah menetap di Amsterdam 16 tahun. Jadi, saya balik ke Malaysia apabila ada tugasan yang perlu diselesaikan. Kerja seni masih berjalan seperti biasa. Saya ada terbitkan artis baharu dan Salammusik pun, ada buat konsert kecil-kecilan.
“Saya ada terbitkan lagu untuk artis di sana dan saya buat kerja belakang tabir dalam muzik. Di sana pun saya ada studio dan tak ada halangan untuk saya terus berkarya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



