Obesiti punca kanak-kanak hidap diabetes jenis 2

Obesiti punca kanak-kanak hidap diabetes jenis 2

Diabetes jenis 2 yang dahulunya sering dikaitkan dengan golongan dewasa kini semakin membimbangkan apabila ramai kanak-kanak didiagnosis menghidap penyakit tersebut.

Pakar pediatrik, Dr. Yong Junina Fadzil berkata, peningkatan kes itu berkait rapat dengan masalah obesiti yang meningkat dalam kalangan golongan tersebut.

Menurutnya, diabetes jenis 2 berlaku apabila sel-sel badan menjadi kurang sensitif terhadap insulin sehingga menyebabkan paras gula dalam darah meningkat.

Pada peringkat awal, pankreas akan menghasilkan insulin dalam kuantiti yang lebih banyak untuk mengatasi masalah tersebut.

Namun, lama-kelamaan organ itu menjadi penat dan penghasilan insulin semakin berkurangan.

“Diabetes jenis 1 disebabkan kegagalan pankreas menghasilkan insulin, manakala jenis 2 berlaku apabila sel-sel badan menjadi kurang sensitif terhadap insulin,” katanya.

Beliau berkata, obesiti merupakan faktor risiko terbesar diabetes jenis 2 dalam kalangan kanak-kanak kerana keadaan itu menyebabkan sel-sel badan menjadi kurang sensitif terhadap insulin.

Katanya, peningkatan kadar obesiti banyak dipengaruhi oleh pengambilan kalori yang tinggi, termasuk gula, selain kurang melakukan aktiviti fizikal.

Selain obesiti, faktor genetik turut memainkan peranan apabila sebahagian besar kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 2 mempunyai sejarah penyakit itu dalam keluarga.

Obesiti punca kanak-kanak hidap diabetes jenis 2

Tanda awal
Mengulas tanda awal diabetes jenis 2, Dr. Yong Junina Fadzil berkata, ibu bapa perlu memberi perhatian sekiranya kulit anak menjadi gelap di bahagian belakang leher, ketiak dan kelengkang.

Keadaan itu dikenali sebagai acanthosis nigricans dan sering disalah anggap sebagai daki.

“Ramai ibu bapa menyangka kulit anak menjadi gelap kerana tidak mandi dengan betul, lalu memarahi mereka.

“Hakikatnya, acanthosis nigricans tidak dapat dihilangkan dengan menyental atau menyabun kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, diabetes jenis 2 juga lazimnya lambat dikesan kerana penyakit itu tidak sering dikaitkan dengan kanak-kanak.

Bagi proses diagnosis, katanya, kebanyakan ibu bapa membawa anak mendapatkan pemeriksaan selepas mereka mengalami gejala seperti kerap membuang air kecil dan sering berasa dahaga.

“Doktor akan melakukan ujian gula dalam darah. Jika paras gula didapati tinggi atau doktor mendapati kanak-kanak mengalami obesiti mengikut carta berat badan dan BMI serta mempunyai acanthosis nigricans, pesakit akan diminta berpuasa dan datang semula untuk menjalani ujian darah.

“Sekiranya bacaan glukosa masih tinggi, kanak-kanak itu akan dirujuk ke hospital untuk menjalani ujian tambahan bagi membezakan antara diabetes jenis 1 dan 2.

“Di hospital, ujian darah yang lebih terperinci boleh dilakukan bagi memastikan tahap insulin dalam darah. Ujian ini akan membezakan antara diabetes jenis 1 dan 2,” jelasnya.

Ujarnya, diabetes jenis 2 dalam kalangan kanak-kanak mula didiagnosis ketika mereka berada dalam lingkungan usia baligh.

 

Komplikasi serius
Diabetes jenis 2 yang tidak dikawal boleh menyebabkan komplikasi jangka panjang seperti yang berlaku kepada pesakit dewasa.

Antara kesan yang boleh berlaku termasuk masalah pada mata, buah pinggang, saraf dan paras kolesterol, selain meningkatkan risiko penyakit jantung apabila meningkat dewasa.

Ibu bapa disarankan mengambil langkah pencegahan sejak awal dengan memastikan anak mengekalkan berat badan sihat.

Menurut Dr. Yong Junina, masih ramai beranggapan mengelakkan pengambilan nasi sudah memadai untuk mencegah obesiti, sedangkan roti, mi dan ubi juga termasuk dalam kumpulan makanan berkarbohidrat.

“Yang penting ialah mengawal kuantiti makanan yang diambil, bukannya mengelakkan nasi semata-mata.

“Amalkan konsep pinggan sihat Malaysia, malah kanak-kanak juga digalakkan mengambil sekurang-kurangnya lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari kerana serat membantu mengawal penyerapan gula dalam darah,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya sejam sehari dan mengelakkan tabiat mengambil makanan sambil menonton televisyen atau menggunakan gajet.

Boleh dikawal
Bagi kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 2, penyakit itu boleh dikawal melalui suntikan insulin, ubat metformin serta amalan pemakanan dan gaya hidup sihat, namun ia tidak boleh dipulihkan.

“Apabila paras gula berjaya dikawal, dos insulin boleh dikurangkan dan pesakit hanya perlu meneruskan rawatan metformin bersama amalan pemakanan dan gaya hidup sihat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak memandang ringan masalah berat badan berlebihan dalam kalangan kanak-kanak.

Antara kesilapan yang sering dilakukan ialah membiasakan anak mengambil makanan atau minuman tinggi gula dan lemak, termasuk yang bergoreng serta viral di media sosial.

Selain itu, ibu bapa juga perlu membawa anak melakukan aktiviti fizikal kerana kanak-kanak bergantung kepada ibu bapa atau penjaga untuk melakukan aktiviti di luar rumah.

“Ramai menganggap anak yang montel itu comel dan akan kurus apabila dewasa.

“Hakikatnya, tanpa didikan mengenai risiko berat badan berlebihan serta amalan pemakanan dan gaya hidup sihat, mereka berisiko mengalami obesiti sehingga dewasa dan seterusnya menghidap diabetes jenis 2,” katanya.

Scroll to Top