Ode Jee luaskan operasi ke seluruh negara tahun depan

bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Pengendali aplikasi penghantaran makanan halal pertama di Malaysia, Ode Jee menyasarkan operasi mereka akan bermula sepenuhnya di seluruh negara pada tahun depan dengan aplikasi itu dimuat turun lima juta pengguna secara berperingkat sehingga hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yussaini Ali, berkata setakat ini, operasi Ode Jee sudah bermula di Johor Bahru, Johor, pada Januari lalu dan memperluaskan operasi pada bulan depan secara serentak di tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu serta Kelantan.

Beliau berkata, pelaksanaan Ode Jee akan dikembangkan di Lembah Klang, wilayah utara, Sabah dan Sarawak secara berperingkat selepas April ini.

“Walaupun banyak aplikasi penghantaran makanan diperkenalkan pada masa ini, tetapi belum ada aplikasi yang mempunyai komitmen dan fokus terhadap makanan halal dan peniaga Islam secara sepenuhnya.

“Susulan itu, tercetus idea untuk mewujudkan aplikasi Ode Jee yang memfokus kepada segmen halal sepenuhnya kerana penghantaran makanan dan minuman secara dalam talian kini amat luas pasarannya di negara ini terutama selepas berlaku pandemik COVID-19,” katanya selepas Majlis Prapelancaran Aplikasi Ode Jee yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif JME Resources Sdn Bhd, Alfian Abas.

Mengulas pemilihan Pahang sebagai lokasi pelancaran di Pantai Timur, beliau berkata, ia berdasarkan potensi pasaran dan kemampuan Kuantan yang sering dirujuk sebagai pintu masuk utama untuk meneroka pasaran termasuk di Terengganu dan Kelantan.

“Sejak diperkenalkan secara tidak rasmi di tiga negeri ini, seramai 300 vendor sudah berdaftar di Pahang manakala masing-masing 250 vendor di Terengganu dan Kelantan.

“Kami meletakkan sasaran 1,000 vendor di setiap negeri pada tahun ini,” katanya.

Yusaini berkata, 40 peratus daripada keuntungan syarikat akan disalurkan kembali kepada golongan memerlukan di setiap negeri mereka beroperasi.

Sebagai contoh, katanya, sumbangan diberikan kepada Tabung Wakaf Rakyat Johor, selain menyediakan bank makanan bagi keuntungan yang diperoleh Ode Jee di Johor.

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, usaha dilakukan pengurusan Ode Jee diharap dapat menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam mengenai kepentingan bab halal dan haram membabitkan makanan.

“Selain itu, aplikasi ini dapat meyakinkan kita bahawa makanan dan minuman dipesan menepati syariat Islam terutama daripada segi kebersihan, penyediaan dan penghantaran,

“Kerajaan Pahang menyambut baik usaha dijalankan Ode Jee dan JME Resources Sdn Bhd kerana memilih negeri ini sebagai lokasi pelancaran aplikasi berkenaan untuk peringkat Pantai Timur,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd