Syamel, Ernie bakal umum nikah

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pasangan duet popular, Syamel dan Ernie Zakri bakal mengumumkan tarikh pernikahan mereka, tidak lama lagi.

Syamel atau nama sebenar, Syamneel Aqmal Mohd Fodzly, berkata pengumuman itu dibuat menerusi video yang akan dimuat naik di media sosial mereka.

“Ketika melangsungkan pertunangan tahun lalu, kami merahsiakannya. Hanya selepas majlis selesai baru kami umumkan kepada khalayak.

“Bagaimanapun, untuk majlis pernikahan nanti, kami sepakat untuk mengumumkannya dalam media sosial. Itu lebih mudah berbanding menganjurkan sidang media khas.

“Kami mahu berkongsi kegembiraan ini dengan semua pihak. Diharap doakan kesejahteraan kami dan majlis nikah berlangsung sempurna,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi Kau Pun Sama ini memberitahu semua maklumat mengenai majlis berkenaan akan dijelaskan dalam perkongsian itu.

Pada Ogos tahun lalu, pasangan yang popular dengan lagu Aku Cinta ini bertunang pada majlis tertutup yang dihadiri kedua-dua keluarga bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Perkenalan pasangan yang pernah meraih trofi Artis Kolaborasi/Duo/Kumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) Ke-31 itu bermula ketika Syamel dan Ernie menyertai program realiti, Duo Star, kira-kira empat tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd