Oh My Media

Oh My Media

Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu serta Waris-Waris Klana Hulu bersetuju melantik akauntan berusia 29 tahun, Muhammad Faris Johari sebagai Datuk Klana Petra, Undang Luak Sungei Ujong ke-11.

Pelantikan itu dimuktamadkan menerusi istiadat kerapatan di Telaga Undang pada 22 April lalu dan diumumkan secara rasmi dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Ibu Soko Waris Negeri, Waris Negeri, Datuk Lembaga Lingkungan, Buapak Lingkungan serta pegawai kerajaan, sekali gus mengesahkan proses pemilihan mengikut salasilah berdasarkan Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 serta hukum adat ‘patah tumbuh’ di bawah Fasal 5 Undang-undang Sungei Ujong.

Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan tersebut turut disahkan berdasarkan Fasal 48 (VI) Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 oleh Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim Tua Lembaga Waris di-Darat yang diiktiraf kerajaan Negeri Sembilan.

Ia turut menegaskan bahawa aturan adat pelantikan Datuk Klana Petra dibuat tanpa campur tangan pihak luar selaras Fasal 14 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Dalam perkembangan berkaitan, isu kedudukan Undang Luak Sungei Ujong sebelum ini menjadi perhatian susulan tindakan Datuk Mubarak Dohak yang dilaporkan dipecat daripada jawatan tersebut, selain tidak lagi diiktiraf kerajaan negeri.

Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini dilaporkan berkata tindakan Mubarak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak boleh diterima atau diiktiraf.

“Pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong telah dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.
“Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang(DKU) pada 17 April lepas telah bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10 selaras peruntukan Fasal 14(3) UUTKS,” katanya.

Sebelum ini, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut menjadi antara individu yang dikaitkan dalam perkembangan isu berkenaan apabila beberapa pihak membuat pengisytiharan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.

Scroll to Top