OKU hilang mata pencarian selepas kemalangan

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR – Sejak tiga tahun lalu, wanita ini tidak pernah mengeluh biar pun dia terpaksa keluar mencari rezeki untuk keluarga gara-gara masalah kesihatan yang dialami suaminya.

Mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga, Norani Sulaiman sanggup melakukan apa sahaja kerja dengan hanya satu niat mencari wang untuk membeli ubat untuk suami, Hasbullah Zulkifli yang mengidap sakit buah pinggang dan jantung tersumbat.

Bermula menjalankan bisnes roti bajet di rumah namun gara-gara kurang pelanggan kerana Perintah Kawalan Pergerakan, wanita berusia 41 tahun ini menjual pula nasi bajet di tepi jalan sejak Januari lalu.

Pendapatan kasar yang diraihnya RM100 sehari jika jualan habis bagi Norani cukup memadai untuk membeli ubatan suami dan membayarkan komitmen bulanan lain.

Orang kelainan upaya (OKU), Norani Sulaiman bergambar dengan suaminya, Hasbullah Zulkifli di Apartment Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2021.

Namun siapa sangka pada petang Jumaat lalu, dia terlibat dengan kemalangan jalan raya ketika hendak menghantar tempahan makan kepada pelanggan untuk berbuka puasa.

“Sejak Jumaat lalu, saya tidak boleh berniaga lagi kerana doktor tidak benar buat kerja langsung kerana tulang siku hancur. Lepas pembedahan nanti, saya juga tidak dibenarkan selama enam bulan lagi.

“Saya perlu menjalani pembedahan di Hospital Ammpang kerana ia hospital kerajaan. Kos masuk besi sebankyak RM3, 900 sebab saya guna kad OKU (Orang Kurang Uapaya) di mana bermalam di hospital adalah percuma.

“Lepas ini saya bertemu pakar dan pembedahan dijangka pada 27 April ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya di Desa Tasik di sini hari ini.

Norani Sulaimandi menunjukkan kad orang kelainan upaya (OKU) di Apartment Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2021.

Norani dan Hasbullah berkahwin sejak lapan tahun lalu di mana sebelum ini masing-masing pernah berkahwin dan mempunyai dua dan tiga anak.

Hasbullah sebelum ini bekerja sebagai pemandu teksi namun gara-gara penyakit buah pinggang, dia tidak boleh membuat kerja berat kerana masalah penglihatan dan kaki bengkak.

Keluarga ini tidak pernah memohon bantuan Baitulmal namun Norani mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM450 bagi kategori elaun pekerja cacat  selain sumbangan makanan daripada Ahli Jawatankuasa apartmennya dan masjid berdekatan.

Mengulas lanjut, Norani mengakui dia tidak mempunyai sumber kewangan untuk membiayai kos pembedahannya.

Ketika ini, ibu kepada dua anak itu sedang menunggu keputusan dari Hospital Ampang sama ada permohonan untuk mengurangkan kos pembedahannya berjaya.

Walaupun dalam serba kekurangan Norani Sulaiman yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) tetap melakukan kerja-kerja rumah di Apartment Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2021.

“Pihak hospital ada prosedur  kerana nak dapat duit free (percuma), ada kaji selidik dan mereka cakap kena temuduga dahulu sama ada berapa banyak boleh dapat atau separuh sahaja.

“Saya ada dapat sumbangan elaun pekerja cacat dari JKM sebanyak RM450 dan Baitumal saya tidak pernah mohon.

“Namun saya bersyukur dikelilingi jiran-jiran, AJK apartment dan masjid yang baik apabila sering memberi sumbangan keperluan dapur,” katanya berterus-terang.

Enggan menyalahkan takdir, Norani memberitahu dia pernah patah semangat selepas kejadian kemalangan itu kerana terfikir siapa yang mencari rezeki untuk keluarganya lagi.

Apa yang merisaukan dirinya, bagaimana untuk mencari wang membeli ubat-ubatan suami sebanyak RM700 sebulan.

Bagi dirinya dan seorang anak perempuan yang tinggal bersama, mereka tidak kisah untuk meneruskan hidup dalam serba kekurangan.

Orang kelainan upaya (OKU), Norani Sulaiman menunjukkan kesan siku yang hancur dari kemalangan yang mengakibatkannya hilang mata pencarian di Apartment Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2021.

“Itulah saya terfikir banyak pada suami dan saya hendak dia sihat sahaja sebab niat saya kerja hendak tolong dia.

“Saya tidak fikir tentang diri saya sendiri sebab pelanggan dan suami tahu macam mana ligat buat kerja sebab buat semua untuk suami.

“Bila jadi macam ini saya patah semangat kerana macamm mana hendak cari wang beli ubat suami. Bab makan saya tidak fikir tentang diri saya. Kalau orang tengok saya kerja mesti takut.

“Lepas meniaga, saya ambil kerja sambila apa yang patut. Kalau saya dibedah dan tidak boleh bekerja, macam mana saya hendak bantu suami lagi,” katanya sambal mengalirkan air mata.

Bentuk jari orang kelainan upaya (OKU), Norani Sulaiman yang tidak seperti manusia normal ketika ditemubual di Apartment Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2021.

Sempat ditanya apa yang ditakuti jika dia pergi meninggalkan anak-anaknya terlebih dahulu, Norani akui perasaan itu sering terlintas di hatinya.

Katanya, rasa susah hati selalu bermain di fikiran bagaimana suami yang sakit akan meneruskan hidup selepas pemergiannya nanti.

“Macam mana hendak cakap pun saya tidak tahu kerana siapa akan jaga suami. Saya tidak boleh mengharap ahli keluarga lain kerana mereka pun ada anak-anak.

“Saya pernah terfikir tapi tidak tahulah dan hanya Allah SWT yang tentukan. Kalau saya sudah pergi tidak boleh buat apa juga tetapi Insya-Allah akan ada yang menjaganya,” katanya sayu.

Orang kelainan upaya (OKU), Norani Sulaiman membantu suaminya, Hasbullah Zulkifli yang menghidap penyakit buah pinggang memakan ubat di Apartment Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 APRIL 2021.

Norani juga tidak menyalahkan ketentuan Allah  dengan apa yang dilalui kerana sebagai manusia, dia yakin ada hikmah di sebalik menimpanya dan keluarga.

“Itu Allah SWT tulis untuk saya dan saya terima dan reda. Saya akan terus berjuang untuk meneruskan kehidupan keluarga.

“Biarlah kami tidak mewah, cukup ada sikit simpanan dan hati tenang,” katanya yang mengimpikan menunaikan umrah bersama Hasbullah satu hari nanti.

Sementara mereka yang ingin bertanya khabar atau memberi sumbangan kepada Norani dan keluarga, boleh menghubungi talian 019-2185524.

Sumbangan pula boleh disalurkan kepada akaun Maybank – 162058760663. – MalaysiaGazette