SEPANG – Atlet boccia negara, Chew Wei Lun yang melakar kejutan pada Sukan Paralimpik Tokyo dengan meraih pingat perak menasihati golongan senasib dengannya untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Dia berkata, tiada yang mustahil dalam hidup ini untuk mencapai kejayaan.
Mengambil contoh dirinya, beliau daripada awal hanya mahu mempromosikan sukan baharu kepada orang ramai pada temasya itu.
“Dari awal tak sangka dapat pingat, niat kita pergi nak promosi sukan ini kepada rakyat Malaysia. Itu sahaja.
“Harap mereka dapat berani untuk cuba mana tahu satu hari mereka akan berjaya dan dapat pingat juga, siapa tahu,” katanya pada sidang media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini dari Jepun, petang tadi.

Kepulangan Wei Lun bukan hanya disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker, malah dua bekas menteri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut memberi penghormatan kepada atlet para negara lain yang pulang dari Tokyo itu.
Wei Lun menghadiahkan Malaysia meraih perak ketiga buat negara melalui selepas tewas kepada atlet Britain, David Smith dengan skor 2-4 menerusi acara individu BC1.
Walaupun berada di ranking ke-11 dunia, Wei Lun tidak patah semangat untuk memberi saingan sengit kepada pesaingannya yang merupakan ranking pertama dunia.
Sebelum itu beliau telah berjaya mengalahkan pemain di ranking lebih tinggi iaitu Sungjoon Jung dari Korea (WR – 8) dan Witsanu Huadpradit dari Thailand (WR – 2). – MalaysiaGazette




