asyikin.mat@hmetro.com.my
Botol kaca sisa pepejal yang tidak mudah terurai secara semula jadi.
Ia boleh kekal di tapak pelupusan sampah selama ratusan tahun dan mencemarkan alam sekitar.
Sebelum membuangnya, cuba pertimbang idea untuk menggunakannya semula sebagai bahan hiasan dan pelbagai barangan rumah yang cantik serta kreatif.
1. Bekas simpanan
Botol kaca terpakai boleh diubah menjadi bekas minyak masak, jus atau air yang praktikal dan estetik.
Juga sesuai untuk makanan kering seperti bijirin, pasta, gula atau rempah.
Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan wang, malah membantu mengekalkan suasana dapur yang kemas.
2. Pasu bunga
Botol kaca terpakai dicat menggunakan akrilik untuk menjadikannya lebih menarik.
Boleh lakukan sentuhan kreatif tambahan seperti membalutnya dengan tali rami atau menambah aksesori kecil bagi menjadikannya estetik.
Pasu botol kaca ini sesuai untuk bunga segar mahupun bunga kering. Kesannya, ia menyerlahkan setiap sudut rumah.
3. Lakukan sendiri (DIY) dispenser pam sabun cecair
Menggunakan botol kaca terpakai menjadi dispenser pam sabun cecair yang unik.
Hasil DIY ini menambah sentuhan estetik di bilik air atau dapur.
Malah sesuai dijadikan hadiah istimewa untuk hari lahir atau majlis masuk rumah baharu.
4. Hiasan dinding kreatif
Boleh gunakan pelbagai saiz dan reka bentuk botol mengikut pilihan anda.
Balut botol dengan tali rami, cat menggunakan warna ceria dan gabungkan corak menarik.
Susunan botol yang digantung di dinding akan memberi sentuhan artistik dan moden, menjadikan ruang tamu lebih ‘hidup’.
5. Penyimpanan barangan kecil
Botol kaca yang dihias digunakan untuk menyimpan butang, manik atau bahan kraf lain.
Ia bukan sahaja menjadikan susunan barang lebih teratur dan kemas, malah menambah elemen hiasan yang estetik pada rak atau meja.
© New Straits Times Press (M) Bhd




