am@hmetro.com.my
Alor Setar: Kejadian air pasang besar yang berlaku hari ini menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Kedah dan Yan dinaiki air.
Tinjauan di Kuala Kedah mendapati, air naik dengan cepat menyebabkan kawasan pekan Kuala Kedah termasuk di pelantar ikan Kampung Seberang Kota dinaiki air sekitar 12.30 tengah hari hingga 1.45 petang
Dalam pada itu, kawasan daerah Yan iaitu Kampung Kuala Dulang Besar turut dinaiki air kira-kira 12 tengah hari sehingga menjejaskan lima rumah di kawasan itu.
Penduduk, Ismail Ahmad, 57, berkata, fenomena air pasang besar yang berlaku kali ini agak luar biasa berbanding sebelum ini kerana air laut naik dengan cepat.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan dan tenggelam dalam air.
“Sewaktu kejadian berlaku, saya dan isteri (Aminah Hassan, 53) berada di dapur namun terkejut apabila mendapati rumah kami dinaiki air dan air masuk dengan laju.
“Tidak sampai 10 minit, air laut bersama selut turut masuk ke dalam dan kami hanya mampu melihat,” katanya.
Penduduk lain, Mohamad Fazam Abdul Rahim, 33, berkata, rumahnya berada di kawasan agak tinggi menyebabkan sukar dimasuki air pasang besar namun fenomena air pasang besar kali ini menyebabkan banjir kilat dan air memasuki kediamannya pada paras buku lali.
“Ketika itu, saya dan isteri (Norsyamirah Shahril, 33) ketika kejadian itu sedang berada di luar rumah selepas tidak sedap hati ketika melihat paras air laut yang pasang semakin menghampiri rumah kami.
“Biasanya, apabila berlaku air pasang besar, air laut tidak melepasi benteng batu yang terletak di belakang rumah namun kali ini menyebabkan banjir kilat hingga memasuki rumah kami diami,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada 1 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi untuk melakukan tinjauan di lokasi kejadian.
Beliau berkata, air pasang besar itu turut disertai angin kencang sehingga menyebabkan banjir kilat dan lima buah rumah terjejas.
“Bagaimana pun air sudah mula surut dan tiada kemalangan jiwa diterima setakat ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




