sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kejohanan One Championship ibarat pertandingan Seluruh England untuk badminton dengan pemenang sudah pastinya meraih populariti besar dan mendapat perhatian dunia.
Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia, Datuk Shahnaz Azmi berkata, kejayaan Muhammad Johan Ghazali Zulfikar dan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib bagaikan ‘tumbukan padu’ buat lawan berpengalaman lain yang sebelum ini hanya memandang Malaysia sebelah mata.
Beliau berkata, kebanyakan wakil Malaysia yang sertai One Championship adalah daripada golongan susah dengan mengharapkan wang kemenangan dapat menampung perbelanjaan mereka selain membantu keluarga masing-masing.
“Kebanyakan wakil negara melihat pentas One Championship sebagai medan memperoleh wang besar berikutan mereka bukannya berlatar belakang keluarga berada.
“Sebab itu, jika mereka menyertai kejohanan terbabit akan bertarung bersungguh-sungguh demi memperoleh hadiah lumayan selain meletakkan nama Malaysia di pentas dunia dalam sukan tempur.
“Mereka mahu memenangi perlawanan di One Championship kerana kejohanan itu ibarat Seluruh England untuk badminton sekali gus akan terkenal dan mula mendapat perhatian daripada pihak tertentu,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Selain itu, Shahnaz berkata, One Championship kini boleh dikatakan antara platform mendapat perhatian daripada peminat sukan tempur tanah air dengan masing-masing mula mengikutinya selepas melihat kejayaan dua wakil negara di pentas itu.
“Peminat sukan tanah air perlu tahu bukan bola sepak atau badminton saja boleh meletakkan Malaysia di mata dunia namun sukan tempur seperti kejohanan One Championship juga mampu melakukan perkara sama.
“Saya dapat lihat dalam tempoh lima tahun akan datang, lebih ramai wakil Malaysia akan bergelar juara One Championship dan melangkah ke peringkat lebih tinggi.
“Oleh itu, saya mengharapkan sokongan padu daripada semua pihak supaya wakil negara mampu meraih kejayaan lebih gemilang pada kejohanan akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




