One Hope Charity sumbang 646 katil kepada 12 hospital, 2 PKD

One Hope Charity sumbang 646 katil kepada 12 hospital, 2 PKD

GEORGE TOWN – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan One Hope Charity and Welfare menderma 646 buah katil baharu kepada 12 buah hospital dan dua Pusat Kesihatan Daerah (PKD) membabitkan negeri Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Pengerusinya, Datuk Chua Sui Hau berkata, katil yang disumbangkan itu adalah hasil kerjasama dan penyelarasan daripada pelbagai pihak kepada hospital berkenaan.

Sui Hau menerima penghargaan daripada Pengarah Hospital Serdang.

Jelas beliau, penularan wabak Covid-19 sudah hampir tiga tahun meyebabkan kebanyakan aset-aset terutamanya katil di hospital kerajaan telah diguna dengan kapasiti yang penuh sekali gus telah usang dan rosak.

“Pengagihan katil-katil ini bukanlah tugas yang mudah, ia perlu penyelarasan daripada pelbagai pihak dan agensi kerana melibatkan urusan pengangkutan, pemindahan, pemasangan dan sebagainya.

“Dana yang diperoleh untuk pembelian katil-katil hospital ini adalah sumbangan daripada orang awam dan kami amat terima kasih kepada penderma yang memberi kepercayaan kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

One Hope Charity menyampaikan sumbangan katil kepada Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Pengagihan katil dilakukan mengikut keperluan hospital tersebut.

Mengulas mengenai agihan Sui Hau berkata, antara hospital di Kedah yang disumbangkan ialah Hospital Kulim sebanyak 191 buah katil diikuti Hospital Sultanah Bahiyah (100) dan Hospital Sultan Abdul Halim (50).

“Bagi hospital di Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya (50), Hospital Bukit Mertajam (77) dan Hospital Sungai Bakap (12).

“Selangor pula, Hospital Serdang (20), Hospital Kajang (20), Hospital Tengku Ampuan Jemaah (26), Hospital Kuala Kubu Bharu (10), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (30), Hospital Banting (28), PKD Ulu Langat (20) dan PKD Sepang (12),” katanya. – MalaysiaGazette